KUALA LUMPUR 7 Julai – AirBorneo Airways Sdn Bhd akan menyewa dua pesawat Boeing B737-800 daripada Batik Air bagi menyokong perancangan memulakan operasi penerbangan jet, khususnya bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur.
Menurut laporan NST, pesawat berkenaan akan diperoleh menerusi kaedah sewaan untuk tempoh 18 bulan, dengan tempoh sewaan itu boleh dilanjutkan sekiranya terdapat keperluan operasi pada masa hadapan.
Sewaan itu melibatkan penyediaan keseluruhan pakej penerbangan termasuk pesawat, kru penerbangan, penyelenggaraan serta perlindungan insurans.
Langkah itu membolehkan AirBorneo memulakan operasi jet dengan lebih pantas sementara menunggu perancangan pemerolehan pesawat sendiri diselesaikan.
Selain menyokong laluan Kuching-Kuala Lumpur, pesawat yang disewa daripada Batik Air itu juga berkemungkinan digunakan bagi penerbangan antarabangsa AirBorneo ke Singapura yang kini dalam perancangan.
Bagaimanapun, AirBorneo masih belum membuat pengumuman rasmi berhubung pembukaan laluan Kuching-Singapura setakat ini. Perancangan tersebut tertakluk kepada perubahan jadual dan kelulusan berkaitan.
Dalam masa sama, rancangan AirBorneo untuk mendapatkan tiga pesawat penumpang Boeing B737-800 daripada Ascend Airways Malaysia Sdn Bhd masih diteruskan, namun proses berkenaan kini menunggu kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Sebelum ini, AirBorneo dijangka menerima tiga pesawat Boeing B737-800 daripada Ascend Airways pada Julai sebagai persediaan untuk memulakan operasi jet pada suku ketiga tahun ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tambang lebih murah Kuala Lumpur-Kuching dari AirBorneo tidak lama lagi, kata Premier Sarawak
Pesawat berkenaan dirancang untuk digunakan bagi menyokong pengembangan rangkaian penerbangan syarikat itu.
Menurut laporan NST, AirBorneo memerlukan lebih banyak pesawat jet bagi menyokong rancangan memperluas perkhidmatan ke destinasi antarabangsa selain mengukuhkan hubungan udara antara wilayah Borneo, termasuk laluan yang menghubungkan Sarawak dan Sabah.
AirBorneo hari ini mula membuka jualan tiket bagi laluan baharu Kuala Lumpur-Kuching dengan menawarkan tambang promosi sehala Kelas Ekonomi sebanyak RM375 menerusi kempen “Sarawakku Sayang”.
Bagi penumpang yang memilih Kelas Perniagaan, AirBorneo menawarkan tambang sehala sebanyak RM736. Kedua-dua tambang tersebut termasuk cukai lapangan terbang dan surcaj bahan api.
Sementara itu, AirBorneo dalam satu kenyataan memaklumkan penerbangan komersial sulungnya akan beroperasi dari Kuala Lumpur ke Kuching pada 20 Julai, manakala perkhidmatan tetap dua kali sehari bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur akan bermula pada 21 Julai.
Sebelum ini, jadual operasi pesawat Boeing B737-800 AirBorneo telah difailkan dalam pangkalan data jadual penerbangan OAG bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur dan Kuching-Singapura. Bagaimanapun, jadual berkenaan masih tertakluk kepada perubahan lanjut.
Berdasarkan pemfailan tersebut, perkhidmatan Kuching-Kuala Lumpur dirancang bermula pada penghujung Julai, manakala laluan Kuching-Singapura dicadangkan bermula seawal 27 Julai.
Pesawat yang dirancang untuk digunakan mempunyai konfigurasi C12Y150, yang lazimnya merujuk kepada susunan 162 tempat duduk terdiri daripada 12 kerusi Kelas Perniagaan dan 150 kerusi Kelas Ekonomi, sekali gus menyokong usaha AirBorneo memperluas jaringan penerbangannya sebagai syarikat penerbangan milik Sarawak. - DagangNews.com








