KUALA TERENGGANU 27 Feb - Tesdec Green Energy Sdn Bhd (TGE) memeterai perjanjian pembelian panel tenaga solar dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk tujuh premis milik MBKT di bawah pelan Net Energy Metering (NEM 3.0) yang dianggarkan bernilai RM2.8 juta.
Datuk Bandar MBKT, Rosli Latif berkata, pemasangan solar NEM 3.0 dengan kapasiti keseluruhan 804.86 kilowatt (kWp) itu dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.
Katanya, dua premis telah selesai memasang panel solar tersebut sejak Mei tahun lepas iaitu Pasar Batu Enam di Kuala Nerus dan Pasar Kedai Buluh, Kuala Terengganu.
"Lima lagi premis ialah Pasar Payang 2, Pusat Akuatik, Stesen Bas MBKT, tempat meletak kenderaan Pasar Payang dan Pasar Bukit Besar.
"Tenaga elektrik yang terhasil daripada janaan sistem solar itu akan digunakan untuk menampung penggunaan elektrik di tujuh premis berkenaan dan MBKT mampu menjimatkan sehingga 30% bil elektrik di bangunan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian pembelian panel solar antara MBKT dengan TGE di Wisma MBKT di sini hari ini.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Rosli Latif, Setiausaha MBKT, Mohd Sukeri Ibrahim dan wakil Ahli Majlis MBKT, Wan Mokhtar @ W Moxtor Wan Kadir, manakala TGE menerusi Pengerusi Ahli Lembaga Pengarahnya, Shukrimun Shamsudin; Pengarah Eksekutifnya, Dr Zakiyah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Iskandar Muhammad Aziz.

Sementara itu, Dr. Zakiyah berkata, TGE yang ditubuhkan pada tahun 2016 adalah anak syarikat kepada Tesdec Services Sdn Bhd.
Menurutnya, syarikat itu ditubuhkan untuk menerajui pembangunan dan promosi teknologi hijau sebagai enjin strategik bagi pertumbuhan sosioekonomi sejajar dengan Pelan Induk Teknologi Hijau yang telah disyorkan oleh Suruhanjaya Tenaga.


Katanya, TGE berkemahiran dalam membangunkan dan menyelenggara projek tenaga suria berskala utiliti dan juga perkhidmatan lain yang berkaitan.
"Antara kekuatan kami yang lain adalah Projek Ladang Solar di Mukim Sura, Dungun. Ladang solar ini berkapasiti 4.28MWp (3.5MWac) menelan jumlah kot sebanyak RM22 juta di atas 10 ekar tanah milik Tesdec Berhad.

"Ladang solar ini sudah mula beroperasi sejak Februari 2020. Penjanaan dari ladang solar ini mampu menampung sebanyak 1800 buah rumah di Dungun," katanya.
Tambahnya, program NEM 3.0 membolehkan kediaman keluarga, premis perniagaan memperbaiki sebahagian perbelanjaan utiliti mereka selama bertahun-tahun dengan kos yang lebih rendah daripada kaedah konvensional. - DagangNews.com








