Elridge Energy labur RM13 juta pasang empat barisan pengeluaran tambahan di Kuantan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Elridge Energy labur RM13 juta pasang empat barisan pengeluaran tambahan di Kuantan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 JulaiElridge Energy Holdings Berhad melabur sejumlah RM13 juta bagi kerja-kerja pemasangan dan pentauliahan sebanyak empat barisan pengeluaran baharu di Kuantan, Pahang.

 

Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, usaha tersebut akan meningkatkan kapasiti pengeluaran biomas tempurung isirung sawit oleh kumpulan berkenaan kepada 1.92 juta tan metrik setahun.

 

Jelasnya, projek tersebut bakal dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Bio Eneco Sdn Bhd, dengan sasaran untuk dapat disiapkan menjelang suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26).

 

"Barisan pengeluaran baharu ini adalah tambahan kepada pelan pengembangan kapasiti dan sebenarnya sudah didedahkan menerusi prospektus syarikat yang bertarikh 6 Ogos 2024," tambah Elridge Energy.

 

Katanya, pengembangan di Pasir Gudang, Johor yang diumumkan sebelum ini siap sepenuhnya, manakala projek serupa di Lahad Datu, Sabah masih berjalan mengikut jadual dan disasarkan siap pada FY27.

 

Setiap barisan pengeluaran baharu tersebut jelasnya, akan mempunyai kapasiti sebanyak 120,000 tan metrik setahun, menjadikan jumlah kapasiti tambahan sebanyak 480,000 tan metrik setiap tahun.

 

Elridge Energy_DagangNews2026

 

Sehubungan itu, kapasiti pengeluaran tahunan Elridge Energy akan meningkat daripada kira-kira 1.44 juta tan metrik kepada 1.92 juta tan metrik sebaik sahaja projek di Kuantan dapat disiapkan kelak.

 

"Selepas pengembangan di Lahad Datu siap, jumlah kapasiti pengeluaran tahunan keseluruhan syarikat tersebut dijangka meningkat lagi kepada kira-kira 2.16 juta tan metrik," kata kumpulan berkenaan.

 

Kuantan pula dipilih kerana lokasi strategik berhampiran sumber bahan mentah dan akses terus ke Pelabuhan Kuantan, membolehkan penghantaran produk eksport dengan lebih cekap dan kos kompetitif.

 

Selain permintaan kukuh pelanggan sedia ada dan baharu, kapasiti tambahan itu membolehkan Elridge Energy membekalkan bahan mentah bagi produk hiliran serta memperluaskan penawaran dalam pasaran.

 

Projek ini dijangka menyumbang kepada hasil dan keuntungan bermula tahun kewangan berakhir 2027, manakala impaknya terhadap prestasi FY26 dijangka tidak material berikutan susut nilai aset.

 

"Kos pemasangan dan pentauliahan barisan pengeluaran baharu itu akan dibiayai melalui dana dalaman atau pinjaman bank, dan Lembaga Pengarah berpandangan pelaburan tersebut adalah wajar," katanya.

 

Elridge Energy menambah, projek berkenaan turut tidak memerlukan kelulusan pemegang saham, selain lesen atau permit operasi yang berkaitan jika diperlukan. - DagangNews.com