Ta Win berdepan saman Air Products Malaysia berkaitan penamatan awal kontrak bekalan gas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ta Win berdepan saman Air Products Malaysia berkaitan penamatan awal kontrak bekalan gas

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Julai - Ta Win Holdings Berhad berdepan tuntutan mahkamah berjumlah RM3.57 juta selepas anak syarikat milik penuhnya, Ta Win Industries (M) Sdn. Bhd. (TWI), disaman oleh Air Products Malaysia Sdn. Bhd. berhubung dakwaan penamatan awal perjanjian pembekalan gas industri.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Ta Win berkata TWI telah menerima Writ Saman dan Penyata Tuntutan pada 26 Jun 2026 yang difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur.

 

Menurut syarikat itu, Air Products Malaysia mendakwa TWI telah memeterai Perjanjian Jualan Gas bagi pembekalan gas industri untuk tempoh tetap sehingga 31 Mac 2028.

 

Bagaimanapun, plaintif mendakwa TWI telah mengeluarkan surat bertarikh 1 November 2024 bagi menamatkan perjanjian tersebut sebelum tamat tempoh kontrak dan tindakan itu tidak dibuat mengikut peruntukan penamatan yang ditetapkan dalam perjanjian.

 

Sehubungan itu, Air Products Malaysia mendakwa TWI masih bertanggungjawab terhadap beberapa obligasi kontrak termasuk baki komitmen Minimum Take-or-Pay (MTOP), baki Caj Kemudahan Bulanan (Monthly Facility Charges, MFC) bagi tempoh kontrak yang masih berbaki serta caj pembongkaran dan pemindahan peralatan yang dipasang di premis syarikat.

 

Plaintif turut mendakwa TWI gagal melunaskan jumlah yang dituntut walaupun Surat Tuntutan telah dikeluarkan pada 7 April 2026.

 

Air Products Malaysia menuntut pembayaran sebanyak RM3.57 juta berserta faedah pada kadar 5% setahun dari tarikh Writ Saman sehingga penghakiman, faedah selepas penghakiman sehingga penyelesaian penuh, ganti rugi am, kos guaman serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

 

Ta Win berkata, pada peringkat ini syarikat masih belum dapat menentukan kesan kewangan penuh daripada tindakan undang-undang tersebut kerana prosiding masih di peringkat awal.

 

"Bagaimanapun, saman ini dijangka tidak memberi kesan material serta-merta terhadap operasi harian kumpulan," katanya.

 

Menurut Ta Win, syarikat kini sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam yang dilantik dan berhasrat mempertahankan saman tersebut secara bersungguh-sungguh.

 

Pendedahan Litigasi

Syarikat turut menjelaskan bahawa walaupun Writ Saman diterima pada 26 Jun lalu, pada ketika itu ia berpendapat kes tersebut belum memenuhi ambang pendedahan litigasi material di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Namun, selepas menjalankan penilaian semula dalaman sebagai sebahagian daripada proses usaha wajar yang sedang berlangsung serta mendapatkan nasihat undang-undang, syarikat memutuskan jumlah yang dipertikaikan memenuhi ambang litigasi material, justeru pengumuman dibuat dengan kadar segera.

 

Ta Win berkata, sebarang perkembangan material berkaitan kes itu akan diumumkan dari semasa ke semasa selaras dengan keperluan penyenaraian Bursa Malaysia. - DagangNews.com