Pilihan raya negeri di Johor dan Negeri Sembilan kembali membangkitkan banyak ingatan lama dalam diri saya. Johor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi.
Angka itu mungkin sekadar nombor di atas kertas, tetapi bagi saya, ia menghidupkan semula wajah-wajah lama, jalan kampung yang jauh, suara petugas parti dan harga sebuah perjuangan yang tidak selalu diukur dengan undi semata-mata.
Saya lahir di Mersing, tetapi kembar perempuan saya lahir di Pahang dan kami dibesarkan di sana kerana keluarga kami sememangnya berasal dari Pahang.
Mungkin sebab itu, apabila Johor bergerak, hati saya masih peka; apabila Pahang bernafas, jiwa saya tetap tersentuh.
Pilihan raya negeri tidak pernah saya lihat sebagai tontonan orang lain kerana negeri-negeri inilah yang membina watak saya sendiri. Ia bukan sekadar geografi, tetapi ingatan, identiti dan sebahagian daripada siapa saya hari ini.
Awal langkah dalam politik
Saya mula aktif dalam politik ketika masih muda pada awal 1990-an. Ketika itu saya ditawarkan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda.
Tawaran itu bukan kecil. Lebih luar biasa lagi, segala perbelanjaan dikatakan akan ditanggung sepenuhnya. Saya hanya perlu turun padang, berjumpa orang dan berkempen. Pada masa itu saya benar-benar percaya bahawa politik ialah medan bakti, bukannya medan jual beli pengaruh.
Namun selepas sebulan berkempen, saya mula berdepan dengan sesuatu yang tidak saya sangka akan menjadi begitu dominan. Setiap kali saya bersalaman dengan pengundi, ada yang memandang tepat ke mata saya lalu bertanya dengan nada yang sudah terbiasa, “Salam kosong?”
Soalan itu menggoncang keyakinan saya. Bagi saya, salam ialah tanda hormat, doa dan silaturahim sesama manusia. Namun saya mula sedar bahawa ada pengundi yang mengharapkan sesuatu yang lebih material di sebalik jabat tangan itu. Mereka bukan menguji keikhlasan saya, sebaliknya menguji ketebalan poket saya.
Saya tidak mahu menang dengan budaya yang mengajar manusia menilai pemimpin melalui isi poket, bukannya isi hati. Maka saya mengundurkan diri sebelum penamaan calon.
Keputusan itu mungkin kelihatan seperti satu kehilangan pada pandangan orang lain. Namun bagi saya, ia adalah kemenangan kecil seorang manusia terhadap desakan keadaan.
Politik, pada hemat saya, tidak sepatutnya bermula dengan wang yang membuat hati menjadi tawanan. Jika dari awal lagi seorang calon sudah diajar bahawa sokongan boleh dibeli, maka apa bezanya dia dengan orang yang hanya mahu kuasa sebagai barang dagangan?
Reformasi dan realiti lapangan
Kemudian datang zaman Reformasi. Saya masuk semula ke gelanggang dengan semangat yang berbeza. Ketika itu saya masih bertugas di TV3, tetapi setiap hujung minggu saya turun membantu kempen pilihan raya PAS.
Saya tidak meninggalkan kerja dan setiap hujung minggu saya kembali dengan gelaran yang agak lucu di telinga saya, “wakil TV3”, seolah-olah kehadiran saya di padang menimbulkan tanda tanya kepada semua pihak.
Satu daripada pengalaman paling kuat dalam hidup saya berlaku di sebuah kawasan pedalaman yang hanya boleh dicapai dengan menaiki kapcai kerana kereta tidak boleh masuk. Saya sudah lupa nama tempat itu, tetapi saya tidak lupa wajahnya.
Jalan tanah yang berlubang, rumah yang jauh antara satu sama lain, kesusahan yang terpancar pada mata orang tua dan anak-anak Melayu yang hidup dalam keadaan serba sederhana membuatkan saya tersedu.
Ada satu perasaan yang sukar saya gambarkan, iaitu kesedaran bahawa dunia yang saya kenali dari bilik siaran dan pejabat hanyalah dunia yang sangat kecil berbanding realiti yang ditanggung oleh sebahagian rakyat negara ini.
Ketika itulah saya sedar bahawa politik tidak boleh hanya berlegar di hotel berbintang, dewan mewah dan pentas ceramah yang berkilauan. Ada rakyat yang benar-benar bergelut untuk hidup setiap hari dan mereka memerlukan lebih daripada slogan yang kemas serta janji yang diulang dari musim ke musim.
Malam yang menguji keberanian
Sewaktu berkempen, saya diberitahu bahawa gangster menunggu di jalan besar dengan niat mahu memukul saya.
Malam itu saya terpaksa tidur di tepi jalan dalam kegelapan yang panjang dan hanya bergerak pulang selepas solat Subuh apabila fajar mula menyingsing.
Pengalaman itu mengajar saya bahawa keberanian bukan sekadar berpidato lantang di hadapan orang ramai. Keberanian juga bermakna bertahan ketika keadaan menjadi tidak menentu dan tiada siapa yang akan merakamkan keberanian itu untuk sesiapa pun.
Di pejabat pula, dalam suasana yang berbeza tetapi sama tegang, setiap hari datang seorang pegawai Cawangan Khas menemui saya dan berkata dengan nada yang mahu kedengaran mengugut, “Awak jangan cari kerja di Malaysia, tiada orang yang akan ambil kerja orang macam awak.”
Saya hanya tersenyum. Ketika itu saya sebenarnya sudah mendapat tawaran kerja di Riyadh, Arab Saudi, dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk meninggalkan tanah air.
Kata-kata itu tidak mematahkan semangat saya. Sebaliknya ia mengesahkan bahawa hidup saya sedang bergerak ke gelanggang yang lain, di luar sempadan yang ingin mereka lukis untuk saya.
Kekuatan kata dan pengalaman
Saya percaya keyakinan bercakap di hadapan orang ramai terbina melalui pengalaman menyertai pertandingan bahas secara berkumpulan dan individu, selain pernah diiktiraf sebagai pemidato terbaik Pahang.
Dari situlah saya belajar bahawa kata-kata yang lahir dengan tertib, logik dan keikhlasan mampu memberi kesan yang jauh lebih besar daripada kata-kata yang hanya bising tanpa isi.
Dalam politik, kemahiran itu amat berguna kerana orang tidak hanya mahu mendengar janji; mereka mahu mendengar manusia yang mampu menanggung makna di sebalik setiap perkataan yang diucapkan.
Wang, kuasa dan ketelusan
Kini saya memandang pilihan raya dengan mata seorang warga emas yang pernah berada di dalamnya, bukan sebagai pemerhati yang asing.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sedang meneliti semula had perbelanjaan memandangkan kos kempen moden, termasuk perbelanjaan digital, semakin kompleks.
Namun kos sebenar sering jauh lebih rumit daripada angka rasmi kerana terdapat bantuan parti, penaja, jentera dan perbelanjaan yang tidak selalu muncul dalam satu penyata yang mudah dibaca oleh orang awam.
Wang dalam kempen pilihan raya datang daripada pelbagai arah, sama ada parti, penyokong setia mahupun individu yang mempunyai kepentingan tersendiri untuk melihat calon tertentu menang.
Persoalan yang lebih penting bukanlah jumlahnya, tetapi sejauh mana ketelusannya.
Dalam undang-undang pilihan raya Malaysia, hanya perbelanjaan yang dibuat secara langsung oleh calon perlu dikemukakan kepada SPR dalam tempoh sebulan selepas keputusan diwartakan.
Perbelanjaan parti atau penaja tidak semestinya dimasukkan dalam penyata calon itu sendiri. Itulah sebabnya wang dalam politik sering kelihatan besar dari jauh, tetapi jejaknya kabur apabila diperiksa dari dekat.
Cermin politik negara
Bagi saya, Johor dan Negeri Sembilan bukan sekadar dua negeri yang sedang menunggu keputusan di bilik pengiraan undi.
Kedua-duanya seperti cermin besar yang memantulkan persoalan lama yang masih belum selesai: siapa yang benar-benar mahu berkhidmat, siapa yang hanya mahu menang, dan siapa yang sanggup menolak budaya politik wang demi menjaga maruah politik yang semakin hari semakin tipis.
Saya sudah melalui banyak zaman. Semuanya mengajar saya satu perkara yang sama: kuasa boleh datang dan pergi, jawatan boleh dipegang dan dilepaskan, tetapi prinsip hanya tinggal pada orang yang berani mempertahankannya walaupun ketika tiada orang yang melihat dan tiada ganjaran yang dijanjikan.
Dan pada akhirnya, itulah satu-satunya kemenangan yang saya percaya masih benar-benar bernilai. - DagangNews.com








