KUALA LUMPUR 26 Sept – Yinson Holdings Berhad dijangka mencatat peningkatan keuntungan bersih sebanyak 4.5 peratus dalam separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26), menurut CIMB Securities.
Firma tersebut berkata, unjuran positif itu didorong permulaan operasi pengeluaran medan kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Agogo yang lebih awal daripada jadual.
Ia menyatakan projek berkenaan mencapai tahap siap 96 peratus pada 2QFY26, berbanding 90 peratus pada 1QFY26 dan pengeluaran pertama dicapai pada 29 Julai 2025, lebih awal daripada sasaran asal.
“Sebaik sahaja operasi mencapai tahap stabil dalam tempoh 6 hingga 12 bulan, FPSO Agogo dijangka menyumbang RM130 juta keuntungan bersih setiap suku tahun,” jelas CIMB Securities dalam notanya.
Yinson katanya, turut menerima Sijil Kesiapsiagaan Operasi Sementara (PORC) pada 12 Ogos 2025, menandakan fasa peralihan ke operasi komersial yang sah dan menjana pendapatan, bermula 3QFY26.
Pencapaian awal itu tambah firma berkenaan, menyerlahkan keupayaan pelaksanaan kukuh, tanpa sebarang peruntukan kos tambahan yang biasanya dikaitkan dengan projek kompleks seumpama ini.
Dalam segmen kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC), keuntungan operasi Yinson jelas CIMB Securities, didapati melonjak sebanyak 64.7 peratus suku-ke-suku (QoQ).
Artikel berkaitan: Untung bersih Yinson pada 2QFY26 susut 50% kepada RM101 juta disebabkan kos kewangan tinggi
"Peningkatan tersebut turut dibantu bayaran kontigensi dan bonus berjumlah AS$50 juta (RM211 juta), walaupun keuntungan tahun-ke-tahun (YoY) mencatat penurunan sebanyak 5.1 peratus," katanya.
Selain itu, firma tersebut memuji langkah Yinson yang bertindak untuk memastikan usaha pembiayaan projek FPSO Agogo beralih kepada struktur bukan tanggungan menjelang akhir FY26 atau awal FY27.
Pendekatan berkenaan kata CIMB Securities, akan mengurangkan risiko kepada aktiviti pembiayaan secara jangka panjang dan mampu mengukuhkan lembaran imbangan kewangan syarikat tersebut sendiri.
Tambah firma penyelidikan itu, gabungan strategi pembiayaan berhati-hati, kepantasan pelaksanaan, dan kawalan kos menjadikan Yinson berada pada landasan yang teguh untuk pertumbuhan mampan.
"Kami mengekalkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 tidak berubah, dengan jangkaan pertumbuhan YoY sebanyak 86.6 peratus pada FY27, manakala kira-kira 10.6 peratus pula pada FY28," katanya.
Keadaan berkenaan jelas CIMB Securities, dipacu oleh sumbangan penuh daripada pelayaran FPSO Agogo serta operasi stabil dijana menerusi pergerakan FPSO yang lain seperti Maria Quitéria dan Atlanta.
Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham Yinson dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM2.93 kerana menilai syarikat ini wajar diberikan perhatian. - DagangNews.com








