Untung bersih Yinson pada 2QFY26 susut 50% kepada RM101 juta disebabkan kos kewangan tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Yinson pada 2QFY26 susut 50% kepada RM101 juta disebabkan kos kewangan tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Sept - Untung bersih Yinson Holdings Berhad pada suku kedua berakhir 31 Julai 2025 (2QFY26) susut 50.2% kepada RM101 juta berbanding RM203 juta pada tahun lalu disebabkan sumbangan lebih rendah daripada aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) serta kos kewangan yang lebih tinggi.

 

Pendapatan kumpulan juga merosot 36.3% kepada RM1.36 bilion daripada RM2.14 bilion, sebahagian besarnya disebabkan selesainya beberapa pencapaian pembinaan utama bagi FPSO Maria Quiteria dan FPSO Atlanta, selain pelupusan perniagaan kapal sokongan luar pesisir.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama FY26, keuntungan bersih Yinson ialah RM216 juta, berbanding RM406 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan jatuh kepada RM2.59 bilion daripada RM4.36 bilion pada 2024.

 

Kumpulan itu berkata, segmen pengeluaran luar pesisir menjadi faktor utama penyusutan pendapatan, dengan penurunan RM1.79 bilion kepada RM2.49 bilion pada separuh pertama tahun kewangan. 

 

Ini berpunca daripada sumbangan lebih rendah aktiviti EPCIC selepas pencapaian pengeluaran minyak pertama untuk FPSO Maria Quiteria pada 3QFY25 dan FPSO Atlanta pada 4QFY25, manakala projek Agogo FPSO kini di peringkat akhir pembinaan.

 

Selain pendapatan yang lebih rendah, keuntungan turut terkesan oleh kos kewangan yang lebih tinggi, sebahagiannya akibat caj sekali sahaja berhubung penstrukturan semula pinjaman projek FPSO Maria Quiteria kepada bon projek bernilai AS$1.168 bilion. 

 

Namun begitu, kesan itu sebahagiannya diimbangi cukai pendapatan yang lebih rendah selepas perubahan asas cukai bagi operasi pengeluaran luar pesisir kumpulan di Belanda.

 

Pengerusi Eksekutif kumpulan, Lim Han Weng berkata,Yinson terus menunjukkan ketahanan dan pandangan jauh dalam mendorong pertumbuhan mapan serta peralihan tenaga.

 

“Dengan Agogo FPSO mencapai minyak pertama, armada FPSO kami kini beroperasi sepenuhnya, memastikan aliran tunai stabil untuk beberapa dekad akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, bon projek AS$1.168 bilion untuk FPSO Maria Quiteria merupakan satu lagi pencapaian penting Yinson di pasaran antarabangsa. 

 

Katanya, di Vietnam, syarikat turut memperoleh projek FSO baharu melalui usaha sama dengan PTSC South East Asia Pte Ltd.

 

“Perkembangan ini meletakkan kami pada kedudukan yang kukuh untuk meneroka peluang baharu, khususnya dalam projek FPSO berasaskan sewa dan operasi, usaha tenaga boleh diperbaharui, serta ruang elektrifikasi pengangkutan yang semakin berkembang,” katanya. - DagangNews.com