Westports kukuh pada 3QFY25 disokong aktiviti pemindahan kargo antara kapal – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Westports kukuh pada 3QFY25 disokong aktiviti pemindahan kargo antara kapal – MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Nov – Kejayaan Westports Holdings Berhad merekodkan prestasi kewangan yang kukuh pada suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25) sejajar dengan jangkaan, menurut MBSB Research.


Firma penyelidikan tersebut turut mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran yang tidak berubah kepada RM4.90 sesaham berdasarkan kadar pulangan purata kos modal berwajaran (WACC) kira-kira 7%.


Katanya, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, Westports mencatatkan keuntungan teras selepas cukai (PAT) sebanyak RM722 juta, yang bersamaan 76% daripada unjuran setahun penuh.


"Perkembangan positif ini turut menandakan prestasi kumpulan pengurusan logistik pelabuhan tersebut masih berada dalam jangkaan pasaran semasa," kata MBSB Research dalam nota kajiannya hari ini.


Menurutnya lagi, keuntungan teras suku ketiga didapati meningkat kira-kira 17.3% tahun ke tahun (YoY) kepada sebanyak RM267.4 juta, didorong oleh faktor pertumbuhan hasil kontena iaitu 13.1% YoY.


Keadaan itu kata firma tersebut, berikutan peningkatan aktiviti pemindahan kargo antara kapal di pelabuhan berkenaan serta langkah pelarasan tarif baharu yang berkuat kuasa pada pertengahan Julai 2025.



Artikel berkaitan: Keuntungan bersih Westports naik 16% kepada RM271 juta


Pertumbuhan kegiatan itu sebanyak 11.7% YoY kata MBSB Research, disokong aktiviti kontena kosong ke rantau Timur Jauh, dan mengimbangi volume mendatar akibat kawalan ketat import sisa elektronik.


"Selain itu, hasil konvensional didapati meningkat kira-kira 9.3% YoY berikutan kenaikan volum sebanyak 5.1% YoY, dipacu pergerakan kargo pukal kering yang lebih tinggi," jelas firma berkenaan.


Secara keseluruhan tambahnya, hasil operasi Westport sebenarnya sudah melonjak sebanyak 16.5% YoY, dan perkembangan positif tersebut adalah sejajar dengan peningkatan margin dan keuntungan bersih.


MBSB Research menambah, hasil kontena naik 8.0% suku ke suku (QOQ) walaupun volum turun 0.3% QoQ, kerana kenaikan tarif dan perkhidmatan nilai tambah kepada 25% daripada 23% pada suku sebelumnya.


Westports kini beroperasi pada kapasiti penuh selepas kerja mendalamkan alur siap dilaksanakan, manakala kadar penghunian dermaga menurun kepada 80% dengan keadaan halaman yang bertambah baik.


"Pihak pengurusan mengekalkan unjuran pertumbuhan satu angka bagi tahun semasa dan sahamnya kini diniagakan hampir purata rekod lima tahun pendapatan sesaham iaitu 17.8 kali," katanya. - DagangNews.com