KUALA LUMPUR 4 Nov – Westports Holdings Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 16 peratus kepada RM271 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, didorong oleh pertumbuhan hasil kukuh dan margin keuntungan kasar yang lebih tinggi.
Menurut Westports, keuntungan kasar kumpulan turut meningkat 20 peratus kepada RM454 juta berbanding RM378 juta pada suku sama tahun lalu, hasil daripada peningkatan aktiviti pengendalian kontena serta pelarasan tarif pelabuhan.
Pendapatan syarikat pula melonjak 31 peratus kepada RM751.99 juta daripada RM572.57 juta setahun lalu, menggambarkan pemulihan berterusan dalam perdagangan serantau serta sumbangan positif daripada pelarasan kadar caj perkhidmatan pelabuhan.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, Westports mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM725 juta, meningkat 13 peratus daripada RM641 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala hasil keseluruhan meningkat 23 peratus kepada RM2.06 bilion berbanding RM1.67 bilion sebelum ini.
Katanya, kumpulan menjangkakan pertumbuhan jumlah kontena bagi tahun penuh akan kekal dalam julat positif satu digit, selaras dengan unjuran perdagangan global yang masih berkembang walaupun dalam persekitaran makroekonomi mencabar.
“Ekonomi global terus menunjukkan pertumbuhan positif, namun dengan ketahanan dan momentum yang sedikit berkurangan berikutan perubahan tarif perdagangan, pengenaan caj baharu kapal di Amerika Syarikat, sekatan perdagangan serta arah aliran kadar faedah yang berbeza antara ekonomi utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Westports, aktiviti penghantaran awal tahun ini telah menyumbang kepada pertumbuhan jumlah kontena setakat ini, namun kadar pertumbuhan itu mungkin sukar dikekalkan hingga ke akhir tahun.
“Walau bagaimanapun, dinamik ekonomi Asia yang pesat, kepelbagaian perdagangan serantau serta penyesuaian model pakatan kontena terus menyediakan asas permintaan yang kukuh terhadap keperluan volume kontena serantau,” jelas syarikat itu.
Westports merupakan antara pelabuhan utama di rantau ini dan dijangka terus mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti perdagangan intra-Asia, selain pelaburan berterusan dalam infrastruktur pelabuhan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang sektor logistik negara. - DagangNews.com








