Well Chip dijangka catat keuntungan bersih RM88.8 juta pada FY26 - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Well Chip dijangka catat keuntungan bersih RM88.8 juta pada FY26 - Maybank IB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb – Well Chip Group Bhd dijangka terus mencatat pertumbuhan keuntungan pada tahun kewangan 2026 (FY26) dan 2027 (FY27), disokong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada perniagaan pajak gadai dan margin keuntungan yang berkembang, menurut Maybank Investment Bank.

 

Firma penyelidikan itu berkata keuntungan bersih FY26 dijangka mencapai RM88.8 juta, manakala FY27 dijangka RM91.1 juta, masing-masing meningkat 3.5% dan 4.4% berbanding unjuran sebelumnya. 

 

“Syarikat juga memperkenalkan unjuran FY28 dengan keuntungan bersih RM92.4 juta.

 

“Bagi tahun kewangan 2025 (FY25), Well Chip mencatat keuntungan bersih RM86.1 juta, melebihi jangkaan penganalisis sebanyak 105%,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Keuntungan suku keempat FY25 meningkat 31% YoY kepada RM24.3 juta, manakala margin kasar keseluruhan meningkat 11.1 mata peratusan kepada 58.4%. 

 

Margin pajak gadai meningkat kepada 87.6%, manakala margin runcit & perdagangan naik kepada 28.7%. Syarikat mengumumkan dividen 5.1 sen sesaham.

 

Maybank IB berkata Well Chip juga merancang untuk membuka dua hingga tiga cawangan baharu pada FY26. 

 

“Dengan nisbah net gearing terkawal pada 0.8x pada akhir Disember 2025, syarikat mempunyai fleksibiliti kewangan untuk membiayai pengembangan dan modal kerja tambahan.

 

“Oleh itu kami mengekalkan cadangan Beli untuk saham Well Chip dengan harga sasaran RM1.95 sesaham, naik daripada RM1.83 sebelum ini,” katanya.

 

Firma tersebut bagaimanapun mengingatkan beberapa risiko yang ada seperti keselamatan siber, turun naik harga emas, transaksi pajak gadai tidak sah, keperluan modal tunai dan risiko keselamatan fizikal kerana pengurusan tunai dan barangan berharga. - DagangNews.com