KUALA LUMPUR 1 Okt – Kerugian bersih dicatatkan VS Industry Berhad sebanyak RM33 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 (4QFY25), mengejutkan pasaran dan penganalisis.
CGS International (CGSI) menyifatkan keputusan yang direkodkan penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu sebagai jauh daripada jangkaan, dengan didorong oleh beberapa faktor utama.
Antaranya penangguhan tempahan disebabkan ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat (AS), tekanan kos berterusan bagi menyerap kurang permintaan pelanggan utama dan kerugian permulaan RM20.5 juta.
"Ia berikutan operasi baharu VS Industry di Filipina dan secara keseluruhan, keuntungan bersih pada FY25 susut 78% tahun ke tahun (YoY) kepada RM43.9 juta," jelas firma penyelidikan itu dalam notanya.
Angka itu hanya mencapai 36% daripada anggaran CGSI sendiri dengan beberapa kelemahan menjadi punca termasuk pengalihan pengeluaran oleh pelanggan AS ke negara ASEAN lain dengan tarif rendah.
Kesan permintaan kecil juga menjejaskan keuntungan kumpulan sebanyak RM11.2 juta, manakala kadar penggunaan rendah dan kos permulaan tinggi di kilang baharu di Filipina menjejaskan perolehan.
Berdasarkan situasi tersebut, firma berkenaan menurunkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) VS Industry pada FY26 dan FY27 sebanyak 21% hingga 25% serta memperkenalkan pula anggaran FY28.
"Kami namun masih lagi mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah iaitu 60 sen berasaskan unjuran nisbah kepada pendapatan (PE) 11.9 kali pada FY27," jelas CGSI.
Artikel berkaitan: VS Industry catat kerugian RM33 juta pada 4QFY25
Bagaimanapun, firma itu memberi amaran kemungkinan berlaku risiko utama selepas ini antaranya ketidaktentuan tarif AS, kelemahan pelaksanaan operasi Filipina, dan pengukuhan nilai ringgit.
Sementara itu, RHB Research kekal positif terhadap prospek jangka sederhana VS Industry meskipun keputusan FY25 adalah mengecewakan, dengan hanya memenuhi 73% daripada jangkaan mereka sendiri.
Ia berkata, faktor penyusutan prestasi itu disebabkan margin keuntungan lebih rendah susulan gangguan oleh tarif AS, permintaan susut daripada pelanggan utama dan kos permulaan di Filipina.
"Kami namun menjangkakan pemulihan segera bermula 1QFY26, disokong oleh peningkatan tempahan sempena musim akhir tahun, pelancaran produk baharu pelanggan utama," kata firma berkenaan.
Kerugian di Filipina juga berkurangan selepas barisan pengeluaran kedua mula beroperasi Disember ini dan potensi pertambahan tempahan daripada pemindahan pengeluaran syarikat global ke ASEAN.
RHB Research selain itu masih mengekalkan saranan 'beli' dengan TP tidak berubah kepada 78 sen sesaham, mencerminkan potensi kenaikan 32% dengan jangkaan pulangan dividen FY26 sekitar 4%.
Kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) diunjur untung selama tiga tahun sebanyak 75%, dipacu pemulihan operasi, pengembangan pelanggan baharu, dan peluang daripada perang perdagangan global.
"Bagaimanapun, VS Industry perlu berwaspada risiko permintaan pengguna global yang lemah dan kegagalan dalam pelaksanaan pengembangan operasi pada suku berikut," katanya. - DagangNews.com








