KUALA LUMPUR 30 Sept – VS Industry Bhd, penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik merekodkan kerugian bersih sebanyak RM33 juta bagi suku keempat berakhir 31 Julai 2025 (4QFY2025).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, prestasinya terjejas oleh permintaan jualan yang rendah dan kelewatan penghantaran produk susulan tarif balas yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
“Pendapatan syarikat turut merosot 29% kepada RM858.8 juta berbanding RM1.21 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
“AS adalah salah satu pasaran utama syarikat dan tarif ini memberi impak lebih besar apabila pelanggan membuat penyesuaian lebih ketara daripada jangkaan.
“Selain itu, prestasi VS Industry turut terjejas oleh tekanan pengurangan kos daripada pelanggan, kerugian operasi permulaan di Filipina, serta susut nilai ke atas aset kilang dan akaun penghutang,” kata syarikat itu.
Tiada dividen diumumkan bagi suku berkenaan.
Bagi keseluruhan FY2025, VS Industry merekodkan keuntungan bersih RM36.7 juta, merosot 85% daripada RM246 juta pada tahun sebelumnya.
Hasil pendapatan pula turun hampir 11% kepada RM3.79 bilion daripada RM4.25 bilion.
VS Industry menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar, dipengaruhi oleh sentimen pengguna dan jangkaan pelanggan.
“Bagaimanapun, pesanan pelanggan menunjukkan peningkatan pada suku semasa dengan beberapa model baharu memasuki pengeluaran besar-besaran.
“Operasi Filipina yang baru sahaja memulakan pengeluaran juga dijangka meningkatkan tahap penggunaan kapasiti secara beransur-ansur,” kata syarikat itu. - DagangNews.com








