KUALA LUMPUR 24 Jun — Cadangan TMK Chemical Berhad mengambil alih sepenuhnya Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) pada nilai indikatif RM920 juta berdepan dengan beberapa risiko utama.
Menurut analisis Malacca Securities, antara isu berkenaan termasuk kemungkinan urus niaga itu tidak dapat dimuktamadkan langsung, peningkatan tahap hutang serta potensi liabiliti alam sekitar.
Ujarnya, surat hasrat (LOI) dikemukakan masih tidak mengikat, dan terdapat risiko urus niaga itu gagal disempurnakan selain memerlukan pelbagai kelulusan oleh pihak berkuasa dan pemegang saham.
"Aset dicadangkan untuk dijual juga adalah berasaskan prinsip sedia ada, seperti masalah aspek alam sekitar, sekali gus berpotensi mendedahkan TMK Chemical kepada liabiliti tidak dijangka," katanya.
Bagaimanapun, Malacca Securities berpandangan cadangan pengambilalihan itu adalah positif dari sudut strategik kerana mampu mengukuhkan platform bahan kimia industri kumpulan secara signifikan.
Jelasnya, pengambilalihan CCM akan memperluaskan pendedahan dalam segmen klor-alkali, polimer dan produk berasaskan sulfur, di samping melengkapkan perniagaan bahan kimia bukan organik sedia ada.
Firma itu berkata, usaha ini bakal mengukuhkan segmen pembuatan, kepelbagaian produk dan rangkaian pelanggan TMK Chemical dalam industri rawatan air, oleokimia, getah, elektronik dan petrokimia.
Artikel berkaitan: TMK Chemical rancang pengambilalihan 100% CCM dalam urus niaga RM920 juta
"Berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), CCM merekodkan hasil RM701.8 juta dan untung bersih (PAT) RM77.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025," ujar Malacca Securities.
Selepas diambil kira pelarasan tertentu termasuk pengecualian Orica-CCM Energy Systems Sdn Bhd daripada transaksi itu, sumbangan keuntungan selepas cukai terlaras CCM adalah sekitar RM71.4 juta.
Bersandarkan harga pembelian, pengambilalihan itu membayangkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) terlaras 12.9 kali bagi FY25, yang masih lebih rendah berbanding penilaian semasa TMK Chemical.
Malacca Securities turut menjangka potensi peningkatan pendapatan sesaham (EPS) dan keuntungan FY27 diunjurkan naik kepada RM213.1 juta, manakala EPS dijangka naik kepada 17 sen daripada 14.06 sen.
"Kumpulan ini menerbitkan 250 juta saham baharu pada harga RM1.90 sesaham bagi membiayai sebahagian transaksi, menjadikan Batu Kawan Berhad memegang 20% kepentingan modal diperbesarkan," jelasnya.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'pegang' terhadap TMK Chemical dengan harga sasaran RM2.55 daripada RM2.11 sebelum ini, namun berpandangan potensi positif daripada urus niaga pengambilalihan itu.
Kata Malacca Securities, penilaian sudah diambil kira dalam harga saham semasa, sementara pelabur masih perlu menunggu kepastian struktur pembiayaan dan penyempurnaan transaksi. - DagangNews.com








