KUALA LUMPUR 24 Jun - Seramai 42,807 pekerja di seluruh negara dilaporkan kehilangan pekerjaan dari Januari hingga 12 Jun tahun ini, menurut data statistik daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, penutupan perniagaan dan pengecilan operasi syarikat dikenal pasti sebagai punca utama pemberhentian kerja, melibatkan 17,485 orang atau 40.85% daripada jumlah keseluruhan.
Kuala Lumpur mencatat jumlah kehilangan pekerjaan tertinggi iaitu 30% atau 12,844 orang, diikuti Selangor dengan 12,360 orang, dan Johor sebanyak 3,468 orang atau 8.1%.
Beliau menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai sejauh mana faktor automasi dan kecerdasan buatan (AI) mempengaruhi trend penutupan syarikat serta pengecilan tenaga kerja di Lembah Klang, yang menyumbang kepada majoriti kes kehilangan pekerjaan sejak awal tahun ini.
Ramanan berkata, AI ketika ini tidak menjadi ancaman utama kepada pekerjaan, sebaliknya tenaga kerja perlu dilengkapi dengan kemahiran berkaitan AI supaya tidak ketinggalan apabila teknologi itu menjadi keperluan pada masa depan.
AI bukan punca
Menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), beliau berkata persepsi bahawa AI menjadi punca utama kehilangan pekerjaan adalah tidak tepat kerana data menunjukkan pemberhentian kerja lebih banyak didorong oleh penutupan perniagaan, skim pemisahan sukarela dan pengecilan tenaga kerja.
Menurutnya, pasaran pekerjaan negara masih menunjukkan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja, dengan 605,168 kekosongan jawatan diiklankan melalui portal MYFutureJobs sejak Januari lalu, berbanding 188,062 pencari kerja termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan.
Dalam pada itu, beliau berkata kajian TalentCorp mendapati kira-kira 697,000 pekerjaan berisiko terkesan oleh perkembangan teknologi dan ekonomi hijau dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang sekiranya pekerja tidak meningkatkan kemahiran mereka.
Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia melaksanakan pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula termasuk Skim Latihan dan Peningkatan Kemahiran untuk Kebolehkerjaan (SLaPB) serta program Academy in Industry (ADI).
Selain itu, platform MyMAHIR.my dan program MyMahir SkillsLab turut disediakan, termasuk modul AI bagi membantu tenaga kerja menyesuaikan diri dengan keperluan masa depan, katanya. - DagangNews.com








