KUALA LUMPUR 24 Jun – ECA Integrated Solution Berhad berjaya mencatatkan prestasi positif dengan kembali meraih keuntungan bersih RM1.73 juta bagi suku kedua berakhir 30 April 2026 (2QFY26).
Prestasi memberangsangkan ini dipacu peningkatan hasil RM10.33 juta, disokong penghantaran yang lebih tinggi bagi sistem pengeluaran bersepadu dan peralatan automasi tunggal sepanjang suku tersebut.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) RM1.73 juta merupakan peningkatan drastik sebanyak 357.1% berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) RM0.67 juta dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya (2QFY25).
"Pertumbuhan hasil kumpulan sepanjang 2QFY26 turut melonjak kira-kira 55.5% kepada RM10.33 juta berbanding hanya RM6.65 juta pada tahun sebelumnya," maklum ECA Integrated kepada Bursa Malaysia.
Ujarnya, prestasi bagi tempoh kumulatif enam bulan (6MFY26) pula merekodkan keuntungan bersih kira-kira RM3.23 juta berbanding kerugian bersih RM6.64 juta pada tempoh yang sama tahun kewangan 2025.
Syarikat menyatakan peningkatan kecil PBT berbanding hasil pada suku ini disebabkan kenaikan kos bahan mentah, perolehan alat ganti luar negara, serta cabaran rantaian bekalan secara berterusan.
Mengenai prospek masa depan, Lembaga Pengarah ECA Integrated melahirkan perasaan berhati-hati namun masih lagi optimis terhadap pertumbuhan kumpulan berkenaan dalam jangka sederhana dan panjang.
"Keyakinan ini didorong permintaan dalam automasi industri serta perkembangan semikonduktor global, khususnya infrastruktur kecerdasan buatan (AI), pusat data, dan kenderaan elektrik (EV)," katanya.
Kumpulan itu jelasnya, turut akan terus menumpukan kepada kecekapan operasi dan pengoptimuman kos untuk mendepani persekitaran perniagaan yang lebih kompetitif serta bebanan tekanan margin.
Setakat tarikh laporan tersebut, ECA Integrated tidak mengisytiharkan sebarang pembayaran dividen bagi suku yang dikaji untuk diagihkan kepada pemegang sahamnya. - DagangNews.com








