KUALA LUMPUR 24 Jun - Lembaga Pengarah Sealink International Bhd telah mengemukakan surat kepada Carimin Petroleum Bhd bagi meminta pertimbangan semakan semula harga tawaran sebanyak RM0.41 sesaham di bawah Cadangan Skim pengambilalihan Sealink.
Menurut Affin Hwang Investment Bank Bhd yang mewakili pihak lembaga, surat tersebut telah dihantar pada 24 Jun 2026 oleh Lembaga Pengarah Sealink, kecuali Lo Ling, Lim Yew Hoe dan Lim Litt.
Bank pelaburan itu berkata, keputusan untuk meminta semakan semula harga tawaran dibuat selepas lembaga mengambil kira, antara lain, penilaian awal terhadap aset-aset material Sealink yang dijalankan oleh penilai bebas.
"Lembaga Pengarah turut memaklumkan proses penilaian terhadap cadangan skim tersebut masih diteruskan, termasuk mempertimbangkan nasihat serta cadangan daripada Penasihat Bebas yang telah dilantik," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia
Menurut kenyataan itu lagi, setakat ini, tiada sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung cadangan berkenaan, dan lembaga akan terus menilai maklum balas daripada Carimin serta pandangan Penasihat Bebas sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Sementara itu kenyataan itu turut menjelaskan, Lo Ling, Lim Yew Hoe dan Lim Litt tidak terlibat dalam permohonan itu kerana Lo Ling, yang merupakan Pengerusi Eksekutif Sealink, telah secara sukarela tidak mengambil bahagian dalam perbincangan lembaga berkaitan perkara itu atas pertimbangan tadbir urus korporat, walaupun beliau tidak dianggap mempunyai kepentingan langsung dalam cadangan berkenaan.
Langkah itu susulan tindakan beliau sebelum ini yang melupuskan 97.5 juta saham Sealink kepada Carimin pada Januari 2026 pada harga RM0.41 sesaham, iaitu sama dengan harga tawaran yang dicadangkan.
Sementara itu, Lim Yew Hoe yang juga Pengarah Eksekutif Sealink dan Carimin dianggap mempunyai kepentingan dalam cadangan skim tersebut, manakala Lim Litt selaku Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Sealink tidak bersetuju dengan pengeluaran surat tersebut tanpa pandangan Penasihat Bebas pada peringkat ini.
Cadangan Penswastaan Sealink
Pada 13 Mei 2026 Carimin telah mengemukakan cadangan mengambil alih sepenuhnya Sealink International Berhad menerusi cadangan penswastaan bernilai kira-kira RM165 juta yang bakal menyaksikan syarikat itu dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Ketika ini, Carimin memiliki 97.5 juta saham Sealink bersamaan pegangan 19.5%, manakala baki 402.5 juta saham atau 80.5% lagi dimiliki pemegang saham lain.
Di bawah cadangan itu, Carimin menawarkan RM0.41 sesaham secara tunai kepada semua pemegang saham Sealink yang layak, menjadikan jumlah keseluruhan tawaran dianggarkan sekitar RM165 juta.
Harga tawaran RM0.41 sesaham itu mewakili premium berbanding harga dagangan saham Sealink sebelum ini, termasuk premium 26.15% berbanding harga penutup RM0.325 pada 11 Mei 2026.
Bagaimanapun, harga tawaran tersebut masih berada sedikit di bawah nilai aset bersih (NTA) Sealink sebanyak RM0.43 sesaham setakat 31 Disember 2025 yang membolehkan Carimin merekodkan keuntungan pembelian murah (bargain purchase gain) dianggarkan sekitar RM9.71 juta. - DagangNews.com








