Keyfield raih 13 kontrak bernilai RM229 juta dengan pilihan lanjutan bernilai RM41 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keyfield raih 13 kontrak bernilai RM229 juta dengan pilihan lanjutan bernilai RM41 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Jun - Keyfield International Bhd mengumumkan kejayaan memperoleh 13 kontrak bernilai RM229 juta bagi operasi di Malaysia, Thailand dan Timur Tengah, sekali gus memperkukuh strategi pengembangan global kumpulan dalam sektor perkhidmatan kapal luar pesisir.

 

Menurut syarikat itu, kontrak berkenaan turut disertakan dengan pilihan lanjutan bernilai kira-kira RM41 juta, yang dijangka menambah keterlihatan pendapatan kumpulan dalam tempoh akan datang.

 

Termasuk lapan kontrak yang diumumkan sebelum ini, Keyfield telah memperoleh sebanyak 21 kontrak penyewaan kapal dalam separuh pertama 2026, mencerminkan momentum pertumbuhan berterusan dalam operasi serantau dan antarabangsa.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Keyfield, Dato’ Darren Kee Chit Huei, berkata kejayaan memperoleh kontrak tersebut membuktikan keberkesanan strategi kepelbagaian geografi kumpulan.

 

“Kami berbesar hati dengan kejayaan memperoleh kontrak di Malaysia, Thailand dan Timur Tengah yang menunjukkan momentum berterusan dalam strategi pengembangan global kami.

 

“Ini bukan sahaja mengurangkan risiko tumpuan geografi, tetapi juga menjadi pemangkin pertumbuhan baharu kepada kumpulan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Menyumbang Kepada Pendapatan Kumpulan FY26, FY27

Beliau berkata kontrak tersebut melibatkan pelbagai kategori kapal dalam armada kumpulan serta kapal pihak ketiga, yang menyokong pelbagai aktiviti minyak dan gas luar pesisir.

 

Kapal-kapal berkenaan akan digunakan oleh pelbagai kontraktor pengaturan petroleum dan kontraktor minyak dan gas di ketiga-tiga pasaran tersebut, dengan tempoh kontrak antara satu bulan hingga 17 bulan.

 

Sesetengah kontrak turut mempunyai pilihan lanjutan antara 15 hari hingga lima bulan, manakala pelaksanaannya telah bermula atau akan bermula pada suku kedua dan ketiga 2026.

 

Menurut Keyfield, kontrak baharu ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan 31 Disember 2027.

 

Dalam masa sama, kumpulan itu memaklumkan bahawa 12 daripada 14 kapal miliknya kini sedang disewakan, manakala baki dua kapal dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2026 selepas selesai pemeriksaan operasi oleh pelanggan.

 

Keyfield berkata kadar penggunaan armada yang tinggi itu mencerminkan kebolehpasaran kapal, kekuatan rekod operasi serta keupayaan kumpulan memenuhi permintaan industri minyak dan gas luar pesisir. - DagangNews.com