KUALA LUMPUR 24 Jun — Teck Guan Perdana Berhad mencatatkan penurunan ketara dalam keuntungan bersih kira-kira 96% bagi suku pertama berakhir 30 April 2026, dengan hanya sebanyak RM437,000.
Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, jumlah tersebut amat rendah berbanding kira-kira RM11.38 juta yang pernah dicatatkan pada tempoh suku yang sama tahun kewangan lalu (1QFY26).
Kemerosotan ini ujar syarikat berkenaan adalah berpunca daripada penurunan dalam kedua-dua volum bilangan jualan dan harga jualan, serta margin operasi yang lebih rendah dalam tempoh tersebut.
"Pendapatan keseluruhan kumpulan ini bagi 1QFY27 turut menjunam kira-kira 86% kepada RM17.92 juta daripada RM131.32 juta pada tempoh sama tahun kewangan sebelumnya," tambah Teck Guan Perdana.
Produk minyak sawit menyumbang 65.28% daripada hasil kumpulan, namun segmen ini susut kepada RM11.7 juta berbanding RM115.84 juta pada tahun lalu akibat faktor harga dan volum yang rendah," katanya.
Sementara itu, keuntungan operasi produk koko turut menurun kepada RM0.46 juta berbanding RM5.37 juta sebelumnya, dan prestasi tahun ke tahun (YoY) secara keselurahnnya juga merosot.
Bagaimanapun Teck Guan kembali mencatatkan keuntungan bersih RM0.437 juta berbanding kerugian bersih RM5.10 juta pada suku sebelumnya yang berakhir 31 Januari 2026, hasil peningkatan margin operasi.
"Mengenai prospek masa depan, Lembaga Pengarah menyatakan walaupun persekitaran produk sawit terus menghadapi cabaran, mereka tetap optimis terhadap prospek jangka panjang industri," jelasnya.
Pihak pengurusan kumpulan berkenaan akan terus memperkukuhkan kecemerlangan operasi dan inisiatif strategik bagi memacu pertumbuhan jangka panjang syarikat. - DagangNews.com








