KUALA LUMPUR 24 Jun — ES Sunlogy Berhad mencatatkan hasil sebanyak RM58.0 juta bagi suku ketiga berakhir 30 April 2026 (3QFY26), dengan dipacu oleh campuran projek yang lebih menguntungkan.
Meskipun susut 23.3% berbanding RM75.6 juta pada suku sama tahun lalu, pendapatan itu sebenarnya mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 35.6% jika dibandingkan dengan suku kedua sebelumnya.
Menurut makluman syarikat kepada Bursa Malaysia, prestasi kewangan bagi suku tinjauan ini banyak dipengaruhi oleh faktor peningkatan keuntungan kasar yang didapati meningkat 5% kepada RM7.3 juta.
"Keadaan ini melonjakkan margin untung kasar kepada 12.7% daripada 9.3% pada suku yang sama tahun kewangan sebelum itu didorong perolehan margin projek kumpulan lebih baik," tambah ES Sunlogy.
Untung selepas cukai (PAT) bagi suku ketiga adalah RM2.4 juta, susut 3.1% daripada RM2.5 juta, namun berbanding suku kedua 2026, untung bersih melonjak sebanyak 76.0% daripada RM1.4 juta.
Penurunan hasil secara tahunan (YoY) disebabkan perbezaan peringkat pelaksanaan projek, dengan beberapa projek pada tahun sebelumnya berada pada fasa lebih maju dengan hasil yang lebih tinggi.
Bagi tempoh sembilan bulan, ES Sunlogy mencatatkan hasil RM165 juta dengan PAT berjumlah RM7 juta berpunca daripada sumbangan segmen dagangan yang lebih rendah dan fasa penyiapan projek berbeza.
"Mengenai prospek masa depan, Lembaga Pengarah kekal optimis terhadap potensi segmen mekanikal dan elektrikal (M&E) dan tenaga boleh diperbaharui (RE) sebagai pemacu pertumbuhan utama," tambahnya.
Syarikat itu juga sedang memperkukuh kehadiran serantau melalui anak syarikat baharu di Singapura dan mengusahakan beberapa inisiatif strategik termasuk cadangan penempatan persendirian saham.
Langkah berkenaan dirancang ES Sunlogy bagi menyokong pengembangan perniagaan, namun tiada sebarang dividen diisytiharkan bagi suku kewangan yang ditinjau ini kepada pemegang saham.- DagangNews.com








