KUALA LUMPUR 24 Jun - Kee Ming Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Kee Ming Electrical Sdn. Bhd. (KME), memperoleh dan menerima Surat Anugerah (LOA) bernilai RM70 juta bagi kerja-kerja kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) untuk projek loji solar fotovoltaik (PV) berskala besar di Bukit Selambau, Kedah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata projek berkenaan melibatkan loji solar berkapasiti 99.99MWac, yang akan turut disokong oleh pembangunan kemudahan sambungan ke grid.
Di bawah kontrak tersebut, KME akan bertanggungjawab bagi kerja-kerja bekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan bagi Kemudahan Saling Hubungan Loji Tenaga Solar (SPPIF) serta Kemudahan Saling Hubungan Tenaga Nasional Berhad (TNBIF).
Kemudahan ini merupakan komponen penting dalam infrastruktur elektrik loji solar bagi memastikan tenaga yang dijana dapat disalurkan ke grid dengan selamat dan efisien.
Skop kerja turut merangkumi tenaga kerja, bahan, peralatan, pengangkutan, penyeliaan serta kerja-kerja berkaitan sehingga projek siap sepenuhnya.
Kerja-kerja projek akan bermula selepas penerimaan LOA dengan beberapa tarikh utama pelaksanaan telah ditetapkan, termasuk Tarikh Penyambungan Semula (Back Energisation Date) pada 15 Disember 2026, Tarikh Operasi Awal pada 30 Disember 2026 dan Tarikh Operasi Komersial Berjadual pada 28 Februari 2027.
Menurut Kee Ming, kontrak terbaharu ini mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam sektor infrastruktur tenaga boleh diperbaharui di Malaysia yang sedang berkembang pesat susulan peningkatan peralihan negara ke arah tenaga bersih.
Pengarah Urusan Kee Ming Group, Ir. Liew Kar Hoe, berkata projek tersebut membuktikan keupayaan teknikal kumpulan dalam pelaksanaan sistem kuasa dan infrastruktur elektrik berskala besar.
“Kontrak ini merupakan pencapaian penting yang mengukuhkan penyertaan kami dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. Projek solar berskala besar memerlukan sistem elektrik yang boleh dipercayai bagi memastikan penghantaran kuasa yang selamat dan efisien,” katanya.
Beliau berkata Kee Ming akan terus memanfaatkan kepakaran dalam kejuruteraan elektrik, infrastruktur kuasa dan pelaksanaan projek bagi menyokong pertumbuhan sektor tenaga bersih serta pembangunan industri dan digital di Malaysia.
Setakat 31 Mac 2026, buku tempahan kerja kumpulan berjumlah RM151.9 juta, sekali gus memberi keterlihatan pendapatan sehingga tahun kewangan berakhir 2027. - DagangNews.com








