KUALA LUMPUR 4 Nov – Mah Sing Group Berhad mampu menjana nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.7 bilion daripada projek baharu M Legasi 2 menerusi pembelian tanah strategik di Semenyih.
Menurut MBSB Research, pembangunan hartanah di lokasi pegangan bebas berkeluasan 111.3 hektar ini dijangka mula menyumbang pulangan kepada kumpulan berkenaan seawal tahun kewangan 2026 (FY26).
Tambah firma penyelidikan tersebut, unjuran itu berdasarkan perkembangan transaksi jual beli yang biasa, sebaik sahaja proses pengambilalihan tanah diselesaikan pada separuh kedua tahun berkenaan.
"Kami menilai langkah tersebut sebagai strategi tepat bagi mengukuhkan lagi kehadiran Mah Sing di koridor pembangunan pesat selatan Selangor terutama Semenyih," jelasnya dalam satu nota hari ini.
Kumpulan itu pada 3 November 2025 menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan Petaling Garden Sdn Bhd, anak syarikat Island & Peninsular Group Sdn Bhd dan seterusnya S P Setia Berhad.
Ia melibatkan pengambilalihan tanah berstatus bukan pajakan yang bernilai RM273.5 juta dengan lokasi itu terletak bersebelahan dengan pembangunan M Legasi sedia ada Mah Sing di Semenyih.
Mengulas lanjut, MBSB Research berkata, projek kali ini berpotensi selepas pelancaran rasmi M Legasi pada Jun 2025 dengan fasa 1A dan 1B yang berharga permulaan RM635,000 seunit habis dijual.
Artikel berkaitan: Mah Sing beli tanah 111.3 hektar berharga RM273.5 juta di Semenyih, bangunkan projek M Legasi 2
"Tanah baharu ini dinamakan M Legasi 2 akan menjadi sambungan lebih eksklusif kepada perbandaran sedia ada, melibatkan pembangunan kediaman dua tingkat, berkembar, dan apartmen servis," katanya.
Sebanyak 71 hektar jelas firma tersebut, akan dibangunkan bagi komponen kediaman dan komersial, manakala 40 hektar lagi diperuntukkan untuk projek kerjasama strategik atau secara usaha sama.
MBSB Research menambah, pendaftaran minat dijangka bermula pada separuh kedua tahun kewangan 2026, dan tempoh pembangunan selama lapan tahun memberi pulangan kepada Mah Sing dalam jangka panjang.
Harga pembelian RM20.60 sekaki persegi (psf) masih munasabah, sepadan dengan kadar pasaran semasa di Semenyih dan sedikit lebih tinggi daripada harga tanah M Legasi yang terdahulu iaitu RM18 psf.
"Kami difahamkan Urus niaga itu dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, dengan nisbah hutang bersih dijangka meningkat kepada 0.3 kali daripada 0.23 kali pada 2QFY25," katanya.
Justeru, MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Mah Sing dengan harga sasaran RM1.51, sambil menjangka pertumbuhan jualan baharu akan terus dipacu oleh pengembangan di Semenyih.
Pembelian tanah ini juga kata firma tersebut, bukan sahaja memperkukuh pegangan syarikat di Semenyih, malah dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan hasil kumpulan mulai FY26. - DagangNews.com








