KUALA LUMPUR 3 Nov – Mah Sing Group Bhd memperkukuh kedudukannya di Semenyih menerusi pembelian tanah pegangan bebas seluas 111.3 hektar bersebelahan pembangunan M Legasi sedia ada, pada harga RM273.5 juta.
Tanah berkenaan dibeli daripada Petaling Garden Sdn Bhd, anak syarikat S P Setia Bhd yang akan dibangunkan sebagai M Legasi 2, sebuah bandar bertintegrasi yang menjadi sambungan lebih eksklusif kepada M Legasi.
Pembelian itu merangkumi dua lot tanah dengan keluasan kasar kira-kira 305 ekar, menjadikan kos tanah pada RM20.60 sekaki persegi berdasarkan keseluruhan keluasan kasar, menurut Mah Sing.
“Daripada jumlah tersebut, 175 ekar diperuntukkan bagi projek kediaman dan komersial bercampur dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.7 bilion, tertakluk kepada keputusan muktamad reka bentuk dan kelulusan pihak berkuasa,” kata Mah Sing dalam satu kenyataan.
M Legasi 2 menawarkan rumah superlink dua tingkat, rumah berkembar berangkai, rumah berkembar, pangsapuri servis dan lot kedai, menyasarkan pembeli rumah kali pertama dan keluarga muda.
Baki 100 ekar pula akan dibangunkan melalui kerjasama strategik bersama rakan institusi, industri dan komuniti bagi memperkenalkan komponen bernilai tambah yang menyokong kelestarian jangka panjang bandar itu.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, projek itu dijangka dibangunkan dalam tempoh lapan tahun dengan pendaftaran minat bermula pada 2026 dan pembinaan pada 2027.
“Lokasi tersebut mempunyai akses sedia ada melalui Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Jalan Broga dan stesen MRT berhampiran di Kajang dan Sungai Jernih.
“Pembelian ini adalah satu lagi pencapaian penting bagi Mah Sing dan mencerminkan keyakinan kami terhadap Semenyih sebagai koridor pertumbuhan pesat,” katanya dalam satu kenyataan.
Dengan transaksi terbaharu itu, bank tanah Mah Sing kini mencecah 5,697 ekar dengan baki GDV dan jualan belum dibil sebanyak RM32.37 bilion. - DagangNews.com








