KUALA LUMPUR 2 Okt – Lianson Fleet Group Berhad (LFG) terus menunjukkan komitmen terhadap strategi kitar semula modal syarikat melalui pelupusan kapal berusia 22 tahun, kata AmInvestment Bank.
Firma penyelidikan tersebut berkata, aset lama jenis kapal sokongan penginapan (AWB) dengan nama DP-2 Kayra itu dijual kepada MAG Offshore Investments LLC pada nilai tunai AS$22 juta (RM92.57 juta).
Menurutnya, syarikat pelaburan maritim yang dibentuk di Kepulauan Marshall itu dijangka memperoleh kapal seberat 3,500 tan dengan kapasiti muatan maksimum 200 orang tersebut menjelang Disember 2025.
"Langkah ini sejajar dengan pendekatan disiplin pengurusan LFG menyusun armada melalui peleraian kapal lama, sekali gus mengurangkan beban kos penyelenggaraan tinggi," kata AmInvest dalam notanya.
Pelupusan AWB Kayra mengesahkan pelaksanaan tegas strategi pengurusan aset LFG menjadikan penjualan aset usang sebagai sebahagian daripada pengukuhan struktur modal dan memastikan kecekapan operasi.
Kumpulan itu turut menjana RM186 juta hasil pelupusan aset setakat tahun ini, bersamaan dengan 24% daripada ekuiti pemegang saham dan 8% daripada keseluruhan modal pasaran semasa syarikat tersebut.
Artikel berkaitan: Lianson Fleet jual kapal Kayra berharga RM92.57 juta kepada MAG Offshore Investments
Dana berkenaan jelas AmInvest, dapat digunakan untuk pelaksanaan bayaran hutang dengan lebih awal, sekali gus meningkatkan tahap fleksibiliti kewangan dan memperkukuh penyata imbangan syarikat.
"Dengan kombinasi pelupusan terdahulu, LFG dijangka mencatatkan kedudukan tunai bersih sebanyak RM570 juta bagi tahun kewangan 2025 (FY25F), andaian penukaran waran penuh," jelas firma itu.
Usaha itu juga memberi kelebihan ketara kepada LFG untuk meneroka peluang dalam sektor pertumbuhan tinggi berbanding rakan industri dalam pasaran Offshore Support Vessel (OSV) yang bersifat kitaran.
AmInvest turut melihat potensi kenaikan nilai saham syarikat menerusi dua pemangkin utama antaranya usaha sama baharu dalam perkhidmatan tenaga, sebagai pintu masuk strategik ke pasaran serantau.
Selain itu katanya, LFG boleh meneroka transformasi jangka panjang sebagai kontraktor tenaga dan infrastruktur serantau, menerusi potensi penyertaan dalam projek mega iaitu Grid Tenaga ASEAN.
"Menerusi disiplin pelupusan aset usang dan penempatan semula modal ke sektor lebih mampan, kami mengekalkan saranan ‘beli' dengan harga sasaran RM2.40 sesaham," katanya. - DagangNews.com








