Lianson Fleet jual kapal Kayra berharga RM92.57 juta kepada MAG Offshore Investments | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lianson Fleet jual kapal Kayra berharga RM92.57 juta kepada MAG Offshore Investments

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Okt - Lianson Fleet Group Berhad (LFG) menerusi Icon Biru 1 (L) Inc memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) dengan syarikat maritim yang ditubuhkan di Kepulauan Marshall, MAG Offshore Investments LLC bagi penjualan kapal Kayra berharga RM92.57 juta. 

 

Kumpulan itu berkata, Kayra merupakan kapal sokongan penginapan (AWB) DP-2 yang dibina pada 2013 seberat 3,500 tan dengan kapasiti penginapan maksimum 200 orang. 

 

Penjualan kapal itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan LFG untuk memperbaharui armadanya bagi memodenkan serta menggantikan kapal sedia ada, selaras dengan permintaan pasaran industri minyak dan gas yang semakin berkembang.

 

"Langkah ini juga seiring dengan penjenamaan semula dan strategi jangka panjang LFG untuk mempelbagaikan perniagaan daripada pemain tulen  kapal sokongan luar pesisir (OSV) kepada kelas aset kapal lain, sekali gus menyokong usaha penembusan pasaran baharu serta mengukuhkan pertumbuhan jangka panjang dan fleksibiliti operasi kumpulan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Hasil bersih daripada penjualan kapal itu sebahagiannya akan digunakan bagi pra pembayaran awal kemudahan pembiayaan sedia ada, serta bagi tujuan korporat am dan menyokong pertumbuhan serta inisiatif strategik masa depan LFG.

 

Penjualan kapal itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama LFG.

 

Anggaran keuntungan daripada pelepasan tersebut (selepas ditolak kos berkaitan) dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan, aset bersih, dan nisbah hutang LFG bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.- DagangNews.com