KUALA LUMPUR 25 Feb – Prestasi segmen pembinaan yang masih lemah dan kegagalan menterjemahkan buku tender besar kepada kontrak baharu menjadi isu kritikal membayangi prospek WCT Holdings Berhad.
Meskipun perniagaan pembangunan hartanah terus menyokong keuntungan kumpulan, penganalisis masih mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap kaunter itu dengan harga sasaran (TP) yang berbeza.
Antaranya, MBSB Research terus mempertahankan saranan ‘beli’ namun TP disemak kepada 68 sen, bersandarkan perolehan sesaham (EPS) FY26 iaitu 3.6 sen serta purata dua tahun sebanyak 19 kali.
"Keputusan 4QFY25 menunjukkan hasil susut 15.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM465.5 juta berikutan segmen kejuruteraan dan pembinaan lemah apabila ada projek menghampiri peringkat siap," katanya.
Keuntungan teras WCT jelasnya, merosot 82.3% kepada RM9.9 juta, dan bagi FY25, kumpulan berkenaan mencatat keuntungan bersih teras sebanyak RM48.9 juta, turun 46.9%, sedikit di bawah jangkaan.
Segmen pembinaan merekodkan kerugian kasar RM8.3 juta pada suku itu, manakala hasil tahunan susut 9.5% kepada RM940.6 juta, namun MBSB Research menjangkakan bil kemajuan projek akan meningkat.
Ia khususnya daripada projek lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan serta pembangunan Pavilion Damansara Heights, dengan pembangunan hartanah kekal penyumbang utama keuntungan kumpulan itu.
"WCT mencatat keuntungan operasi 4QFY25 melonjak kepada RM32.7 juta berbanding kerugian kecil setahun sebelumnya, didorong jualan dan bil kemajuan lebih tinggi termasuk jualan tanah," katanya.
Artikel berkaitan: WCT catat hasil RM1.97 bilion pada FY25, untung susut susulan tiada keuntungan luar biasa
Hasil hartanah FY25 jelas MBSB Research, meningkat 56.3% kepada RM806.8 juta dengan jualan belum dibil mencecah RM1.01 bilion, menawarkan keterlihatan pendapatan WCT yang lebih baik bagi FY26.
CGS International mengekalkan saranan ‘tambah’ dengan TP lebih tinggi RM1.12, walaupun menurunkan unjuran EPS FY26 hingga FY27 sebanyak 6% hingga 10% susulan margin kasar yang lebih konservatif.
Firma penyelidikan itu namun menyifatkan keputusan 4QFY25 di bawah jangkaan berikutan prestasi pembinaan yang lemah, termasuk kerugian operasi sebanyak RM8.5 juta sepanjang suku tersebut.
"Walaupun prestasi perniagaan hartanah adalah baik dengan untung kasar RM34 juta, pencapaian untuk aktiviti prajualan FY25 iaitu RM599 juta itu masih di bawah sasaran RM1.1 bilion," tambahnya.
Menurut CGSI, cabaran terbesar WCT ialah kurang kemenangan kontrak baharu walaupun ada buku tender RM11 bilion, dengan tempahan semasa jatuh kepada RM1.8 bilion berbanding RM2.3 bilion sebelum itu.
Bagi FY26, syarikat menyasarkan kemenangan kontrak RM2 bilion, termasuk bidaan projek sistem LRT Pulau Pinang, Johor Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) dan projek infrastruktur tempatan.
Justeru ia berpandangan penilaian saham kekal menarik pada 0.2 kali harga kepada nilai buku (P/BV) FY26F, namun pemangkin utama penarafan semula bergantung pemulihan konsisten segmen pembinaan.
"Kami melihat pembangunan hartanah sebagai penampan utama keuntungan, manakala momentum kemenangan kontrak baharu menjadi faktor penentu hala tuju WCT," kata CGSI. - DagangNews.com








