KUALA LUMPUR 23 Feb — Transformasi Tanjung Malim di selatan Perak daripada bandar 'lesu' kepada hab automotif dan industri berteknologi tinggi semakin ketara susulan pembangunan KLK TechPark.
Bagaimanapun menurut Maybank Investment Bank, potensi pendapatan jangka terdekatnya dilihat sudah banyak 'dicerminkan' dalam harga saham Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) di Bursa Malaysia sendiri.
Katanya, walaupun projek tersebut berpotensi menjana lonjakan keuntungan segmen hartanah, firma penyelidikan itu masih mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) RM20.30 sesaham.
"Kami tidak membuat perubahan unjuran hasil FY26 hingga FY27, kerana sebahagian sumbangan daripada kemasukan pengeluar kenderaan elektrik China, BYD Company Limited, sudah diambil kira," jelasnya.
Perkembangan projek berkenaan tambah Maybank IB, termasuk anggaran keuntungan operasi hartanah kepada RM109 juta dan RM111 juta bagi FY26 dan FY27 berbanding hanya sebanyak RM42 juta pada FY25.
Lawatan terbaharu firma itu sendiri mendapati pelbagai kerja tanah dan penyediaan tapak di KLK TechPark sedang berjalan dengan rancak sejak pelancaran rasmi projek tersebut pada Ogos 2025.
Katanya, usaha pembersihan kawasan ladang kelapa sawit terdahulu oleh kontraktor KLK serta kerja perataan dan penstabilan tanah kini sudah dapat dilihat, termasuk menerusi imej-imej dari udara.
"Selain KLK TechPark, sekurang-kurangnya dua lagi tapak pembangunan baharu turut dikenal pasti di kawasan yang berhampiran, termasuk sebahagian daripada Proton City sendiri," tambah Maybank IB.
Situasi positif itu menandakan kebangkitan semula aktiviti pembangunan di Tanjung Malim, dengan KLK TechPark merupakan pembangunan perindustrian bersepadu pegangan bebas berkeluasan 607 hektar.
Ia katanya merangkumi 526 hektar zon industri dan 81 hektar komponen kediaman sokongan, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) iaitu RM3.5 bilion sepanjang tempoh pembangunan 10 tahun.
Terletak strategik antara Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Behrang-Tanjung Malim, projek itu jelas Maybank IB, juga berhampiran jalan persekutuan utama dan landasan kereta api yang sedia ada.
"Ini meningkatkan daya tarikan logistik, dan BYD komited mengambil 61 hektar bagi Fasa 1, dengan kerja infrastruktur dijangka siap akhir 2026 dan penyerahan tanah secara berperingkat," katanya.
Sementara Fasa 2 yang dirancang KLK sebagai taman vendor pula bakal dilancarkan pada separuh pertama 2026, dan walaupun tiada panduan rasmi diberikan setakat ini, firma tersebut amat optimis.
Maybank IB menganggarkan jualan tanah kepada BYD berpotensi menjana keuntungan bersih melebihi RM65 juta sepanjang tempoh pembangunan, dengan sumbangan sulung dijadual direkodkan pada FY26.
Perkembangan itu sekali gus menyokong peningkatan ketara dalam prestasi segmen hartanah kumpulan, dan secara keseluruhan, ia berpandangan TechPark berupaya mengubah landskap ekonomi Tanjung Malim.
"Dari sudut pelaburan, potensi pendapatan terdekat projek tersebut namun dilihat sudah banyak diambil kira dalam penilaian semasa saham KLK," kata firma berkenaan. - DagangNews.com








