KUALA LUMPUR 27 Okt - Insights Analytics Bhd dijangka catat keuntungan bersih RM25 juta dan RM29 juta bagi tahun kewangan 2026 dan 2027 (FY26 dan FY27) dipacu prestasi kukuh dalam segmen pengurusan aset pintar dan peningkatan margin.
Katanya, ia merupakan syarikat yang mengkhusus dalam rumusan teknologi air bagi pengurusan rantaian bekalan utiliti air, terutamanya di Sarawak.
Rakuten Trade mengekalkan saranan "beli" dengna nilai wajar (FV) 58 sen berdasarkan nisbah harga terhadap pendapatan (PER) sebanyak 11 kali berasaskan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27.
Kumpulan itu mempunyai portfolio pelanggan yang kukuh dalam industri pengurusan air dan telah menjalinkan hubungan lebih 10 tahun dengan pelanggan utama seperti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak, Lembaga Air Sibu, Sarawak Water, dan Lembaga Air Kuching.
Hubungan jangka panjang ini memberikan asas yang kukuh untuk kemenangan kontrak baharu serta pertumbuhan perniagaan yang mampan.
ARTIKEL BERKAITAN: Saham Insights Analytics melonjak 72% kepada 62 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE
“Syarikat mencatatkan keuntungan yang kukuh dengan margin bersih sebanyak 38.2% bagi FY25.
“Prestasi ini disokong margin untung kasar yang tinggi daripada projek baharu IntelliConstruct System, yang telah menjadi penyumbang utama hasil pada tahun tersebut.
“Kami menjangkakan margin bersih akan kekal melebihi paras 30% bagi FY26 hingga FY28,” katanya dalam satu nota kajian.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, kumpulan bercadang untuk memperoleh premis baharu di Kuching, Sarawak bagi dijadikan ibu pejabat baharu yang diperluas.
Pejabat tersebut akan menempatkan pusat data mini bagi memperkukuh infrastruktur IT dan memenuhi permintaan meningkat terhadap penyelesaian berasaskan data.
Selain itu, syarikat turut menyewa pejabat cawangan baharu di Puchong bagi mempertingkatkan khidmat kepada pelanggan di seluruh Semenanjung Malaysia.- DagangNews.com








