SHAH ALAM 23 Jun – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan Pengarah Urusan MRF Consultant (M) Sdn Bhd, Siti Nur Atiqah Baba, serta Sinar Harian berhubung kes fitnah, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam yang sebelum ini memerintahkan kedua-dua pihak membayar ganti rugi kepada sebuah firma guaman.
Hakim Noor Hayati Mat dalam penghakimannya mengekalkan dapatan bahawa penerbitan berkenaan perlu dinilai secara keseluruhan, termasuk tajuk, kandungan berita dan elemen visual seperti gambar yang disiarkan.
Beliau berkata, pertimbangan undang-undang tidak hanya terhad kepada teks semata-mata, sebaliknya turut merangkumi gambar yang menjadi sebahagian daripada penerbitan dan boleh memberi kesan kepada persepsi pembaca.
Mahkamah turut menegaskan, rujukan kepada plaintif boleh timbul melalui gambar, walaupun ia tidak menyebut nama pihak berkenaan secara langsung.
Dalam kes ini, mahkamah mendapati pembaca biasa boleh membuat kesimpulan bahawa firma guaman plaintif mempunyai kaitan dengan dakwaan yang dilaporkan berdasarkan keseluruhan kandungan penerbitan tersebut.
Hakim turut menyatakan bahawa pihak wartawan dan penerbit mempunyai kawalan terhadap pemilihan gambar serta kandungan yang disiarkan, termasuk keupayaan untuk memilih imej alternatif atau mengaburkan nama Tetuan Haida Mohd Fikah & Partners sebelum penerbitan dibuat.
Mahkamah berpendapat kegagalan mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak berkaitan sebelum penerbitan turut menyumbang kepada dapatan liabiliti.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi menolak rayuan dan mengekalkan award ganti rugi am masing-masing sebanyak RM50,000 terhadap Siti Nur Atiqah Baba dan Sinar Harian, selain kos perundangan seperti diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.
Latar Belakang Kes
Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 2 Julai 2025 mendapati plaintif, Tetuan Haida Mohd Fikah & Partners, berjaya membuktikan tuntutan fitnah selepas mahkamah meneliti keterangan saksi, dokumen serta hujahan yang dikemukakan.
Kes berkenaan berpunca daripada sidang media pada 28 September 2022 oleh Siti Nur Atiqah Baba berkaitan dakwaan penipuan melibatkan skim perumahan yang dikaitkan dengan MRF Consultant (M) Sdn Bhd.
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nur Atiqah diperintah bayar ganti rugi RM50,000 ke atas firma guaman
Laporan Sinar Harian yang kemudian disiarkan turut memaparkan gambar muka depan perjanjian jual beli yang dipegang oleh individu terbabit, selain turut dimuat naik ke platform media sosial akhbar itu.
Plaintif bagaimanapun menegaskan, firma guaman berkenaan tidak pernah dilantik atau terlibat dalam mana-mana urusan perjanjian jual beli berkaitan MRF Consultant.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa penyiaran laporan tersebut telah mengakibatkan firma guaman berkenaan menerima komen negatif yang menjejaskan reputasi mereka.
Pada 2 Julai 2025, Mahkamah Sesyen Shah Alam mendapati plaintif iaitu Tetuan Haida Mohd Fikah & Partners berjaya membuktikan kes selepas meneliti keterangan saksi dan dokumen serta hujahan di mahkamah.
Wartawan dan syarikat akhbar Sinar Harian dinamakan masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga, dan turut diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 kepada Tetuan Haida Mohd Fikah & Partners, yang diwakili peguam Azmer Md Saad dari Tetuan Lainah Yaacob & Zulkepli. - DagangNews.com








