Siti Nur Atiqah diperintah bayar ganti rugi RM50,000 ke atas firma guaman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Siti Nur Atiqah diperintah bayar ganti rugi RM50,000 ke atas firma guaman

Oleh JOHARDY IBRAHIM

SHAH ALAM 3 Julai - Pengarah Urusan MRF Consultant (M) Sdn Bhd (MRF), Siti Nur Atiqah Baba diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 kepada sebuah firma guaman atas dakwaan memfitnah yang disiarkan di dalam sebuah akhbar arus perdana pada tahun 2022.

 

Mahkamah Sesyen Shah Alam yang bersidang pada 2 Julai, mendapati plaintif iaitu Tetuan Haida Mohd Fikah & Partners berjaya membuktikan kes setelah mahkamah meneliti keterangan keterangan saksi dan dokumen serta hujahan.   

 

Wartawan serta syarikat akhbar Sinar Harian pula dinamakan masing-masingnya sebagai defendan kedua dan defendan ketiga, turut diperintah membayar ganti rugi RM50,000 kepada Tetuan Haida Mohd Fikah & Partners yang diwakili oleh peguam Azmer Md Saad dari Tetuan Lainah Yaacob & Zulkepli.

 

Menurut pernyataan keputusan penghakiman, Hakim Fatimah Zahari membenarkan tuntutan ganti rugi am kepada plaintif iaitu RM50,000 daripada defendan pertama dan RM50,000 daripada defendan kedua dan ketiga.

 

Mahkamah Sesyen menetapkan jumlah ganti rugi di atas pada kadar 5% setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian bayaran sepenuhnya.

 

Mahkamah juga memerintahkan kos sebanyak RM5,000 dibayar oleh defendan pertama dan RM5,000 oleh defendan kedua dan ketiga kepada plaintif.

 

Mengikut fakta kes, Siti Nur Atiqah telah mengadakan sidang media pada 28 September 2022 berkaitan isu tuduhan scammer rumah, menganiaya dan menipu berkaitan skim yang ditawarkan oleh MRF termasuk Rumahku Syurgaku yang ketika itu hangat diperkatakan orang ramai.

 

Berdasarkan kenyataan itu, Sinar Harian menyiarkan laporan berita bertajuk `Jika salah, heret sahaja saya ke mahkamah: Siti Nur Atiqah".

 

Pada laporan tersebut, gambar yang disiarkan ialah muka depan perjanjian jual beli yang sedang dipegang Siti Nur Atiqah, yang turut dimuat turun di dalam akaun Facebook Sinar Harian pada 29 September 2022.

 

"Plaintif tidak pernah pada mana-mana ketika terlibat atau dilantik sebagai peguamcara oleh Siti Nur Atiqah bagi mengendalikan apa-apa perjanjian jual beli rumah bagi MRF.

 

"Akibat daripada penyebaran siaran berita di Facebook itu, plaintif telah menerima komen-komen negatif yang merosakkan nama baik dan reputasi firma guaman Haida Mohd Fikah & Partners," menurut writ saman itu. - DagangNews.com