ExecuJet MRO Services lahirkan bakat tempatan, serap 100% perantis sebagai jurutera sepenuh masa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ExecuJet MRO Services lahirkan bakat tempatan, serap 100% perantis sebagai jurutera sepenuh masa

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 Jun — Syarikat milik Dassault Aviation, ExecuJet MRO Services Malaysia berjaya menyerap kesemua enam peserta kumpulan pertama program perantisan sebagai pekerja sepenuh masa.

 

Perkembangan positif itu memperkukuh pembangunan bakat tempatan dalam sektor penerbangan terutama industri aeroangkasa negara, syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO).

 

Kejayaan itu membuktikan keberkesanan program latihan berstruktur diperkenalkan bagi melahirkan ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi serta memenuhi keperluan industri yang semakin kompleks.

 

"Program dibangunkan dengan kerjasama badan latihan MRO tempatan, D'viation sebagai sebahagian strategi jangka panjang syarikat menangani isu kekurangan tenaga mahir," katanya dalam kenyataan.

 

Menurut ExecuJet MRO, kesemua peserta dipilih melalui proses saringan ketat melibatkan penilaian teknikal dan bukan teknikal, termasuk ujian kecerdasan intelek (IQ) serta kecerdasan emosi (EQ).

 

Peserta berkenaan ujarnya, terdiri daripada graduan institusi pengajian dan latihan penerbangan terkemuka seperti Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT).

 

ExecuJet_DagangNews2026

 

Sepanjang tempoh enam bulan, perantis ditempatkan secara langsung dalam persekitaran operasi MRO syarikat itu di Kuala Lumpur di bawah penyeliaan jurutera pesawat berlesen yang berpengalaman.

 

"Mereka turut menerima pendedahan praktikal yang meliputi aspek penyelenggaraan asas pesawat dan prosedur keselamatan, kerja-kerja pemasangan dan penanggalan enjin pesawat," jelas ExecuJet MRO. 

 

Selain itu, peserta turut dibimbing mengenai Auxiliary Power Unit (APU), pemasangan panel luaran, kerja dalaman kabin, aplikasi bahan pengedap di samping sentuhan cat dan kerja kemasan pesawat.

 

Program berkenaan tambah syarikat tersebut, turut memberi pendedahan kepada isu penyelenggaraan pesawat perniagaan daripada jenama utama seperti Bombardier, Gulfstream dan Dassault Aviation.

 

Pengurus Besar Penyelenggaraan ExecuJet MRO, Suniljit Singh berkata, syarikat memberi penekanan kepada pembinaan asas kemahiran bagi melahirkan jurutera yang mampu menyokong teknologi moden.

 

"Teknologi pesawat semakin berkembang dengan sangat pantas dan pada masa sama industri berdepan cabaran untuk menarik bakat muda yang mempunyai keupayaan teknikal penerbangan tinggi," katanya.

 

Beliau menambah, tanpa sebarang kemahiran asas dan pengalaman praktikal secara kukuh, adalah sukar untuk negara ini dapat membangunkan jurutera yang berupaya menyokong sistem pesawat versi moden. 

 

Keutamaan ExecuJet MRO ujar Suniljit, bukan sekadar bagi melatih sekumpulan perantis, tetapi turut berusaha dalam membangunkan bakat profesional kompeten yang boleh berkembang bersama industri.

 

Jelasnya, kerjasama antara pemain industri dan institusi latihan adalah penting bagi mewujudkan laluan kerjaya yang lebih tersusun kepada golongan muda serta memastikan kelestarian industri. - DagangNews.com