Spekulasi PRU-16 mengejut bayangi Indeks Kewangan FTSE Bursa Malaysia, pelabur kekal berhati-hati – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Spekulasi PRU-16 mengejut bayangi Indeks Kewangan FTSE Bursa Malaysia, pelabur kekal berhati-hati – Maybank IB

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun – Spekulasi Pilihan Raya Umum ke-16 mengejut dijangka menjadi faktor utama yang membayangi sentimen pasaran kewangan tempatan, khususnya Indeks Kewangan FTSE Bursa Malaysia (KLFIN), dalam tempoh terdekat, menurut Maybank IBG Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata walaupun risiko politik boleh mempengaruhi pergerakan pasaran jangka pendek, asas ekonomi, dasar monetari serta kestabilan politik kekal menjadi penentu utama hala tuju pasaran dalam jangka lebih panjang.

 

Firma itu mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor perbankan, dengan menegaskan bahawa pendekatan berhati-hati masih wajar diambil oleh pelabur susulan ketidaktentuan yang meningkat dalam persekitaran politik semasa.

 

Spekulasi mengenai PRU16 timbul susulan ketegangan dalam gabungan kerajaan, walaupun pilihan raya umum seterusnya hanya dijadualkan pada Februari 2028.

 

Perkembangan ini telah meningkatkan tahap berhati-hati dalam kalangan pelabur, khususnya terhadap sektor sensitif seperti perbankan yang membentuk komponen utama KLFIN.

 

Menurut Maybank IB, sejarah prestasi pasaran menunjukkan KLFIN lazimnya bergerak secara sederhana dan berhati-hati dalam tempoh sebelum pilihan raya umum.

 

Dalam beberapa kitaran pilihan raya lepas, indeks tersebut mencatat pergerakan dalam julat kecil dengan kecenderungan neutral, mencerminkan sikap tunggu dan lihat pelabur.

 

t

 

Namun begitu, terdapat pengecualian pada PRU11 dan PRU13 yang menyaksikan kenaikan lebih ketara berbanding kebiasaan prestasi pra-pilihan raya.

 

Sebaliknya, PRU15 menunjukkan prestasi lebih lemah dengan penurunan indeks yang mengukuhkan pandangan bahawa kesan pilihan raya terhadap pasaran adalah tidak konsisten.

 

Maybank IB berkata, keadaan ini menunjukkan bahawa pilihan raya lazimnya mencetuskan elemen ketidaktentuan yang menyebabkan pelabur mengambil pendekatan lebih defensif dalam membuat keputusan pelaburan.

 

Selepas pilihan raya pula, prestasi KLFIN dilihat kembali stabil dengan trend lebih neutral, bergantung kepada keadaan ekonomi semasa serta persepsi terhadap kestabilan politik pasca pilihan raya.

 

Sehubungan itu, Maybank mengekalkan pandangan ‘Neutral’ terhadap sektor perbankan dan mengenal pasti beberapa saham utama sebagai pilihan pelaburan dalam sektor tersebut.

 

Antara saham yang diberi perhatian ialah Hong Leong Financial Group Bhd dengan harga sasaran RM23.45, Hong Leong Bank Bhd (RM25), RHB Bank Bhd (RM9.40) dan Public Bank Bhd (RM5.30) dengan kesemua sasaran mencerminkan potensi kenaikan berdasarkan jangkaan asas sektor yang stabil.

 

Walaupun prospek pertumbuhan ekonomi dijangka membantu mengurangkan risiko kredit, Maybank memberi amaran bahawa faktor luaran seperti ketegangan geopolitik dan kemungkinan penurunan kadar faedah boleh memberi tekanan kepada margin keuntungan sektor perbankan. - DagangNews.com