KUALA LUMPUR 23 Jun - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), menerusi anak syarikatnya Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC), telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan Data Centre Union Sdn Bhd (DC Union) bagi membangunkan pusat data berteknologi tinggi di Cyberjaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIC, Saharom Mohni berkata, projek bernilai RM2.5 bilion itu akan diuruskan oleh SIC Quantum Data Centre Sdn Bhd dan berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi digital Selangor serta memperkukuh ekosistem kecerdasan buatan (AI) negara.
“Kerjasama strategik ini merupakan satu pencapaian penting bagi kumpulan PKNS apabila melangkah ke sektor ekonomi digital yang menawarkan potensi pertumbuhan yang amat besar pada masa hadapan.
“Kerjasama ini meletakkan SIC sebagai rakan strategik dalam menyokong pembangunan infrastruktur digital negeri dengan mengaplikasikan piawaian industri yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian itu di ibu pejabat PKNS di sini pada Selasa.
Sementara itu, Saharom berkata, projek berkapasiti 65 megawatt (MW) itu akan dilengkapi dengan teknologi penyejukan rendaman penuh (full immersion cooling) bagi meningkatkan kecekapan tenaga, selain menyokong agenda negeri pintar Selangor melalui penyediaan infrastruktur digital yang selamat, cekap dan berdaya tahan tinggi.
“Projek berimpak tinggi ini turut merangkumi inisiatif penubuhan pusat arahan AI berdaulat (sovereign AI command centre) dan pusat kecemerlangan yang bertujuan memperkasakan keupayaan AI negara serta meningkatkan standard keselamatan data.
“Selain itu, syarikat turut menetapkan sasaran melahirkan sekurang-kurangnya 500 jurutera bertauliah Nvidia setiap tahun bagi memenuhi permintaan pasaran dalam bidang pengkomputeran awan serta menangani kekurangan tenaga mahir,” katanya.
Permintaan Infrastruktur Digital Meningkat
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DC Union, Yeep Teck Ann berkata, sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang syarikat, pihaknya telah memperuntukkan tambahan RM4.8 bilion khusus untuk pembangunan kemudahan pusat pengkomputeran AI berprestasi tinggi (kilang AI) bagi menyokong operasi pembelajaran mesin.
Beliau berkata, perkembangan pesat teknologi AI di seluruh dunia telah mendorong permintaan terhadap infrastruktur digital pada kadar yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Malaysia mempunyai peluang keemasan yang besar untuk muncul sebagai hab AI dan pusat infrastruktur digital paling menonjol serta berpengaruh di Asia Tenggara.
“Visi utama kami bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan infrastruktur fizikal, malah memberi penekanan mendalam terhadap pembinaan ekosistem digital yang komprehensif bagi menyokong pembangunan bakat tempatan dan kerjasama strategik,” katanya.
Dalam hubungan itu, Yeep berharap kerjasama dengan kerajaan Selangor, PKNS dan SIC dapat terus memperkukuh daya saing Malaysia sebagai pusat teknologi dan hab AI yang disegani di rantau ini. - BERNAMA








