Wong Engineering kutip hasil RM14 juta bagi 2QFY26, naik 48% dipacu permintaan kukuh semikonduktor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wong Engineering kutip hasil RM14 juta bagi 2QFY26, naik 48% dipacu permintaan kukuh semikonduktor

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 JunWong Engineering Corporation Berhad berjaya mengutip pendapatan mencecah sebanyak RM14.25 juta bagi tempoh suku kedua yang berakhir pada 30 April 2026 (2QFY26).

 

Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, ia mencatatkan peningkatan signifikan kira-kira 48% berbanding hanya RM9.60 juta direkodkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Ujarnya, pertumbuhan kukuh ini dipacu terutama oleh segmen kejuruteraan ketepatan susulan daripada permintaan yang lebih tinggi menerusi sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).

 

"Selain itu, Wong Engineering kembali mencatatkan keuntungan bersih RM508,000 bagi 2QFY26, satu pemulihan ketara berbanding kerugian bersih RM3.817 juta bagi tempoh sama tahun lalu," katanya.

 

Peningkatan keuntungan berkenaan jelasnya, turut didorong oleh kecekapan operasi yang lebih baik dan penggunaan kapasiti kilang yang dipertingkatkan dalam segmen kejuruteraan ketepatan.

 

Tambah kumpulan itu, pendapatan segmen tersebut meningkat RM4.65 juta berikutan penghantaran tempahan komponen logam fabrikasi yang lebih tinggi kepada pelanggan sektor semikonduktor.

 

Bagi enam bulan berakhir 30 April 2026, Wong Engineering mencatatkan hasil terkumpul RM28.04 juta dan kerugian bersih mengecil kepada RM1.67 juta berbanding kerugian RM7.38 juta pada tahun lepas.

 

"Mengenai prospek masa depan pula, kumpulan ini berkeyakinan menjangka perkembangan trajektori hasil yang lebih tinggi sedikit bagi tempoh separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26)," ujarnya.

 

Pertumbuhan positif ini jelas kumpulan berkenaan, dijangka terus dipacu oleh kekuatan pasaran dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC).

 

Bagaimanapun, Wong Engineering kekal berhati-hati terhadap kesan daripada konflik di Timur Tengah yang boleh menyebabkan trend inflasi pada kos input seperti logistik, bahan api, dan bahan mentah.

 

Di samping itu tambahnya, pengukuhan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) turut memberi cabaran besar kepada hasil kumpulan yang didenominasikan dalam mata wang asing.

 

"Bagi tempoh suku kedua ini, lembaga pengarah kumpulan tidak mengesyorkan sebarang pembayaran dividen interim kepada para pemegang saham," katanya. - DagangNews.com