KUALA LUMPUR 23 Jun – UWC Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM26.1 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026, meningkat lebih tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun sebelumnya didorong permintaan industri semikonduktor.
Bagi suku tersebut, hasil pendapatan kumpulan juga meningkat 58.5% kepada RM151.5 juta berbanding RM95.6 juta pada 3QFY2025.
Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan ketara dalam aktiviti industri semikonduktor global yang meningkatkan tempahan pelanggan serta penggunaan kapasiti pengeluaran.
Dalam tempoh sama, keuntungan sebelum cukai (PBT) mencatatkan lonjakan 209% kepada RM29.3 juta, mencerminkan pemulihan margin serta kecekapan operasi yang lebih baik dalam persekitaran permintaan yang kukuh.
Bagi tempoh sembilan bulan (9MFY2026), UWC merekodkan pertumbuhan menyeluruh dengan hasil meningkat 47.3% kepada RM408.7 juta. PBT pula melonjak 107.3% kepada RM66.1 juta, manakala PAT naik 133.1% kepada RM56.1 juta, menunjukkan momentum pertumbuhan yang berterusan.
Menurut syarikat, prestasi memberangsangkan ini didorong oleh peningkatan permintaan dalam sektor semikonduktor, khususnya dalam segmen peralatan ujian serta peralihan industri kepada teknologi lebih canggih.

“Pertumbuhan turut disokong oleh peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan dan pengkomputeran termaju yang memacu permintaan terhadap cip generasi baharu serta peralatan pembuatan semikonduktor yang lebih kompleks.
“Selain itu, syarikat turut mencatat kemajuan dalam segmen ‘front-end dan back-end’ semikonduktor apabila lebih banyak projek baharu mula memasuki fasa pelaksanaan penuh yang meningkatkan jumlah tempahan dan kecekapan penggunaan kapasiti,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
UWC berkata dalam masa yang sama, kumpulan terus melaksanakan pelaburan strategik termasuk peluasan kapasiti pengeluaran, pembangunan fasiliti bilik bersih, automasi proses serta pembangunan bakat bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.
“Walaupun prospek industri kekal positif, pengurusan turut memberi amaran terhadap risiko luaran seperti ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan perdagangan global yang boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan semikonduktor.
“Namun, kepelbagaian pelanggan serta kesiapsiagaan operasi meletakkan kumpulan dalam kedudukan kukuh untuk menghadapi cabaran tersebut sambil mengekalkan pertumbuhan mampan,” katanya.
Secara keseluruhan, syarikat menyatakan keyakinan terhadap prospek jangka panjang industri semikonduktor yang terus disokong oleh perkembangan pesat AI, pendigitalan dan permintaan global terhadap teknologi berprestasi tinggi. - DagangNews.com








