KUALA LUMPUR 23 Jun — Paragon Globe Berhad memeterai perjanjian untuk melupuskan dua lot tanah berstatus pegangan bebas di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada harga RM398.1 juta.
Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, ia dilakukan anak syarikatnya, PGB Landmark Sdn Bhd (PLSB) melibatkan tanah seluas 26.4 hektar di Mukim Tanjung Kupang, daerah Johor Bahru.
Ujarnya, transaksi ini bukan sekadar penjualan aset biasa, tetapi dijangka memberikan keuntungan proforma bersih sebanyak RM189.72 juta, sekali gus memperkukuhkan kedudukan kewangan kumpulan.
"Lokasinya strategik dalam kawasan Flagship B Iskandar Puteri bagi JS-SEZ, hanya tujuh kilometer jauh dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Abu Bakar," jelas Paragon Globe.
Pembeli tanah tersebut ialah Dayone Data Centers Malaysia III Sdn Bhd (DDCM), sebuah syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyediaan infrastruktur hos, dan perkhidmatan pemprosesan data.
Selain itu tambahnya, syarikat berkenaan terlibay aktiviti berkaitan teknologi maklumat (IT) dan transaksi ini mencerminkan permintaan tanah di Johor bagi tujuan pembangunan pusat data (DC).
Kata Paragon Globe, hasil jualan tersebut akan digunakan secara strategik untuk beberapa perkara antaranya sebanyak RM146.0 juta bagi tujuan pembiayaan projek-projek kumpulan yang sedia ada.
"Kira-kira RM57.1 juta untuk pengambilalihan bank tanah baharu atau hartanah lain, manakala RM56.0 juta bagi pembayaran balik pinjaman bank, yang akan mengurangkan kadar hutang kumpulan," katanya.
Syarikat tersebut menjangka penggearan mampu diturunkan daripada 0.73 kali kepada hanya 0.40 kali selepas ini, sementara RM60.6 juta lagi bakal dimanfaatkan sebagai modal kerja dan cukai hasil.
Lembaga Pengarah Paragon Globe menyatakan pelupusan ini adalah sebahagian strategi berterusan kumpulan mengoptimumkan portfolio tanah melalui penjanaan nilai tambah aset yang terpilih.
Di samping kumpulan itu berpotensi meraih keuntungan bersih yang besar, langkah ini memberikan fleksibiliti kewangan kepada syarikat tersebut untuk menyokong keutamaan strategik masa hadapan.
"Urus niaga ini namun tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan pihak berkuasa berkaitan, serta dijangka selesai sepenuhnya pada separuh kedua tahun 2027. - DagangNews.com








