JAS tolak laporan EIA peluasan kilang Lynas di Pahang, syarikat akan kemuka penilaian baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JAS tolak laporan EIA peluasan kilang Lynas di Pahang, syarikat akan kemuka penilaian baharu

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 23 Jun – Jabatan Alam Sekitar (JAS) difahamkan telah menolak laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) berkaitan cadangan Lynas Rare Earths Ltd untuk memperluaskan kapasiti pemprosesannya di Pahang, sekali gus menjadi cabaran kawal selia terbaharu buat pengeluar nadir bumi dari Australia itu.

 

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan di laman web JAS, Lynas memohon kelulusan untuk meningkatkan kapasiti pemprosesan pekatan lantanida di kilangnya di Kuantan daripada 95,000 tan kepada 110,000 tan setahun.

 

Laporan EIA itu dikemukakan pada 3 April lalu dan dibuka untuk semakan awam dari 10 April hingga 9 Mei, manakala maklum balas orang ramai diterima sehingga 24 Mei.

 

JAS minta EIA dikemas kini

JAS dilaporkan meminta Lynas mengemukakan EIA yang dikemas kini selepas semakan teknikal dijalankan mengikut proses penilaian kawal selia Malaysia.

 

Bagaimanapun, tiada alasan terperinci mengenai keperluan semakan semula itu didedahkan kepada umum.

 

Lynas dalam kenyataan kepada Bursa Saham Australia (ASX) bertarikh 23 Jun berkata, laporan EIA syarikat itu telah melalui semakan teknikal selaras dengan keperluan peraturan di Malaysia.

 

"Jabatan Alam Sekitar Malaysia telah meminta Lynas mengemukakan EIA yang dikemas kini susulan proses semakan teknikal tersebut. Lynas akan mengemukakan EIA yang dikemas kini seperti diminta," kata syarikat itu.

 

Perkembangan terbaharu itu mengembalikan tumpuan terhadap operasi Lynas di Malaysia yang sebelum ini berdepan bantahan berkaitan alam sekitar berhubung pengurusan sisa radioaktif dan toksik yang terhasil daripada aktiviti pemprosesan nadir bumi menggunakan bahan mentah dari lombong Mt Weld miliknya di Australia Barat.

 

Hab pemprosesan nadir bumi terbesar di luar China

Kemudahan Lynas di Kuantan merupakan hab pemprosesan nadir bumi terbesar di luar China dan memperoleh pembaharuan lesen operasi selama 10 tahun pada Mac lalu, membolehkannya terus mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi serta memproses nadir bumi di Malaysia.


 

Lynas

 


Syarikat itu sebelum ini turut berdepan beberapa cabaran kawal selia, termasuk sekatan sementara terhadap aktiviti pemprosesan tertentu pada 2023 sebelum syarat lesen dipinda kemudian.

 

Lynas juga dikehendaki membangunkan kemudahan pelupusan kekal bagi sisa radioaktif, dengan laporan terdahulu menganggarkan kos projek tersebut sekitar RM250 juta.

 

Pada Oktober tahun lalu, Lynas mengumumkan rancangan melabur RM500 juta untuk membina kemudahan pemisahan nadir bumi baharu di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap rantaian bekalan di luar China.

 

Kemudahan itu dijangka mampu memproses sehingga 5,000 tan bahan mentah nadir bumi berat setiap tahun.

 

Perkembangan ini turut berlaku ketika Lynas sedang melalui peralihan kepimpinan apabila ketua pegawai operasinya, Pol Le Roux, dijadual mengambil alih jawatan ketua pegawai eksekutif daripada Amanda Lacaze pada 1 Julai ini. - DagangNews.com