Topmix lancar myRuma, platform digital ubah suai rumah dengan kerjasama RHB dan SP Setia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Topmix lancar myRuma, platform digital ubah suai rumah dengan kerjasama RHB dan SP Setia

Melalui pendekatan ini, pengguna akan mendapat pengalaman lebih tersusun termasuk sistem pembayaran berperingkat berdasarkan kemajuan kerja
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun – Topmix Berhad  melancarkan platform digital baharu dikenali sebagai myRuma yang menyediakan perkhidmatan menyeluruh bagi memudahkan proses ubah suai rumah yang lebih telus, sistematik dan dipercayai.

 

Ia juga langkah permulaan syarikat itu memasuki segmen teknologi dalam ekosistem ubah suai rumah di Malaysia.

 

Platform tersebut dibangunkan melalui anak syarikat milik penuh Topmix, Luma International Sdn Bhd yang turut disokong oleh kerjasama strategik bersama RHB Bank Berhad dan RHB Islamic Bank Berhad, serta Setia Ecohill 2 Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh SP Setia Berhad.

 

Kerjasama ini dijangka memperkukuh ekosistem ubah suai rumah negara melalui integrasi pembiayaan kewangan, akses pasaran perumahan dan rangkaian profesional yang telah disahkan.

 

Menurut Topmix, myRuma diwujudkan bagi menangani isu berpanjangan dalam industri ubah suai seperti kurangnya ketelusan kos, kualiti kerja yang tidak konsisten serta masalah kepercayaan antara pemilik rumah dan kontraktor.

 

Platform ini dibina berasaskan empat tonggak utama iaitu jaminan kewangan, tadbir urus kualiti, perlindungan risiko serta rangkaian profesional yang telah disahkan.

 

Melalui pendekatan ini, pengguna akan mendapat pengalaman lebih tersusun termasuk sistem pembayaran berperingkat berdasarkan kemajuan kerja.

 

t

 

RHB Bank pula memainkan peranan penting dengan menawarkan kemudahan pembiayaan rumah dan ubah suai selain menyokong struktur pembayaran yang lebih selamat dan telus kepada pelanggan serta kontraktor.

 

Sementara itu, kerjasama dengan SP Setia membuka ruang kepada myRuma untuk memasuki segmen pembangunan perbandaran, khususnya melalui projek Setia EcoHill 2 yang menjadi platform awal pelaksanaan sistem tersebut.

 

Topmix turut memperkenalkan Reno Playbook, iaitu manual kualiti ubah suai pertama di Malaysia yang bertujuan menyeragamkan standard kerja serta meningkatkan profesionalisme dalam industri pembinaan kecil di negara ini.

 

Selain itu, myRuma turut bekerjasama dengan penyedia jaminan kualiti bebas, syarikat insurans, institusi pembiayaan patuh syariah serta rakan jenama bagi memastikan ekosistem yang lebih lengkap dan dipercayai.

 

Ketua Pegawai Eksekutif myRuma merangkap Pengarah Urusan Topmix, Teo Quek Siang berkata platform ini bukan sekadar aplikasi digital, tetapi satu ekosistem menyeluruh yang menggabungkan pembiayaan, kualiti dan perlindungan risiko.

 

Beliau berkata pelancaran ini juga selaras dengan strategi jangka panjang syarikat untuk memperluaskan perniagaan melangkaui bahan hiasan dalaman kepada penyelesaian rumah berasaskan teknologi.

 

Pada peringkat awal, myRuma akan memberi tumpuan kepada kawasan Lembah Klang sebelum diperluaskan ke seluruh negara, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan yang lebih selamat dan teratur.- DagangNews.com