Saham Insights Analytics melonjak 72% kepada 62 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Insights Analytics melonjak 72% kepada 62 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Okt - Insights Analytics Berhad mencatatkan penampilan sulung yang memberangsangkan di Pasaran ACE, apabila saham syarikat penyedia rumusan teknologi itu dibuka pada harga 62 sen, meningkat 72% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 36 sen.

 

Pada pukul 9 pagi, saham firma yang berpangkalan di Sarawak itu melonjak pada 62 sen, melonjak daripada harga IPO 36 sen selepas 33.46 juta saham diniagakan.

 

Pengarah Urusan Insights Analytics, Frank Wee berkata, penyelesaian syarikat termasuk sistem air pintar miliknya, Intelli Water System, serta penyelesaian pengurusan aset pintar, sejajar dengan pelbagai program kerajaan seperti Program Air Tidak Berhasil Kebangsaan (NRW) 2025–2030, Inisiatif Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS), Transformasi Sektor Air 2040, dan Pelan Induk Infrastruktur Air Pintar Sarawak bernilai RM20 bilion.

 

“Inisiatif jangka panjang ini sedang mewujudkan aliran projek yang kukuh dalam industri air. Dengan teknologi dan rekod prestasi kami yang terbukti, Insights Analytics berada pada kedudukan kukuh untuk memainkan peranan penting dalam menyokong transformasi serta pendigitalan sektor air di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebahagian daripada hasil kutipan IPO akan digunakan untuk memperoleh pejabat korporat baharu di Kuching, yang akan menempatkan pusat data mini bagi memperkukuh infrastruktur digital dan kapasiti perkhidmatan syarikat.

 

Pusat data mini itu akan menyediakan platform berasaskan hibrid atau awan yang selamat dan cekap untuk pelanggan — khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) — bagi menjadi hos dan mengurus perisian serta aplikasi mereka.

 

Bagi memperkukuh inovasi, Insights Analytics juga melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mengambil tenaga profesional yang berkemahiran dalam pembelajaran mesin, analitik data, pembangunan model AI, dan kejuruteraan awan.

 

"Usaha itu dijangka meningkatkan prestasi dan tahap inovasi platform pengurusan air pintar syarikat.

 

"Selain beroperasi di Sarawak, Insights Analytics kini meluaskan kehadirannya ke Semenanjung Malaysia untuk meneroka peluang baharu dalam projek air dan infrastruktur digital di seluruh negara. 

 

"Syarikat itu juga akan menubuhkan pasukan sokongan di tapak serta rangkaian operasi khusus bagi meningkatkan hubungan pelanggan dan kecekapan pelaksanaan projek," katanya. - DagangNews.com