KUALA LUMPUR 26 Feb – IJM Corporation Berhad mencatatkan penurunan keuntungan bersih kira-kira 35.5% kepada sebanyak RM177.1 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2025 (9MFY26).
Kumpulan itu memberitahu, ia merosot berbanding RM274.4 juta setahun lalu, susulan kerugian akibat pertukaran mata wang asing (forex) tidak direalisasi serta fasa pelaburan aset jangka panjang.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, keuntungan sebelum cukai (PBT) syarikat berkenaan turut merudum kira-kira 33.6% kepada RM354.2 juta daripada sebanyak RM533.7 juta sebelum ini.
"Bagaimanapun, hasil kumpulan meningkat 12.4% kepada RM5.01 bilion berbanding RM4.46 bilion, didorong sumbangan lebih tinggi daripada bahagian pembinaan dan industri," kata IJM Corporation.
Jelas kumpulan tersebut, bahagian pembinaan mencatat lonjakan hasil 53.7% kepada RM2.65 bilion dengan PBT meningkat kepada RM114.4 juta, disokong kemajuan projek industri dan pusat data (DC).
Sementara itu tambahnya, bagi tempoh suku ketiga sahaja, PBT untuk bahagian berkenaan didapati berjaya melonjak dengan memberangsangkan iaitu kira-kira 118.9% kepada sebanyak RM42.5 juta.
Sehingga 31 Disember 2025, buku tempahan terkumpul pembinaan berjumlah RM15.3 bilion termasuk usaha sama dan syarikat bersekutu, memberikan keterlihatan pendapatan bagi tempoh terdekat.
"Dalam suku ini, IJM Corporation meraih kontrak DC terbesar yang bernilai RM2.1 bilion di Elmina, Selangor serta kontrak reka dan bina lanjutan lebuh raya berharga RM1.4 bilion," jelasnya lagi.
Bahagian industri pula mencatatkan hasil RM925.0 juta, naik 19.0% manakala PBT naik 13.6% kepada RM154.0 juta, dipacu permintaan lebih tinggi bagi cerucuk, produk kuari dan konkrit siap bancuh.
Bahagian tol merekodkan PBT RM57.4 juta berbanding RM0.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, meskipun hasil susut 5.3% kepada RM301.9 juta akibat campuran trafik yang kurang menyebelahinya.
IJM Corporation berkata, peningkatan keuntungan kasar tersebut disumbang prestasi lebuh raya tempatan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian daripada syarikat bersekutu iaitu WCE.
"Bahagian hartanah namun kerugian sebelum cukai RM7.7 juta berbanding keuntungan tahun sebelumnya, susulan ketiadaan keuntungan jualan tanah di Pulau Pinang serta kerugian tinggi forex," katanya.
Dalam pada itu jelas kumpulan berkenaan, bahagian pelabuhan pula merekodkan hasil yang lebih rendah 13.8% kepada RM283.4 juta dengan PBT sebanyak RM59.5 juta susulan pengurangan jumlah kargo.
Secara keseluruhan tambah IJM Corporation, prestasi perlahan sepanjang tempoh tersebut turut dipengaruhi oleh faktor kerugian forex yang tidak direalisasi dengan jumlah mencecah RM103.2 juta.
Bagi prospek masa depan, ia meramalkan prestasi FY26 yang sederhana berbanding tahun kewangan lalu berikutan pelaburan projek infrastruktur jangka panjang sedang dibangunkan. - DagangNews.com








