KUALA LUMPUR 24 Okt – CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) mencatatkan sedikit penurunan keuntungan bersih sebanyak 1.1% suku ke suku (QoQ) kepada RM34.7 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2025.
Menurut TA Securities, situasi itu dipengaruhi perbelanjaan pengurusan dan fi pemegang amanah yang tinggi, walaupun hasil keseluruhan stabil disokong sumbangan kukuh daripada aset logistik baharu.
Kata firma penyelidikan itu, prestasi sukuan yang perlahan tidak menjejaskan momentum pertumbuhan, dengan keuntungan bersih bagi 9MFY25 meningkat 10.4% tahun ke tahun (YoY) kepada RM107.2 juta.
"Perkembangan ini sejajar dengan jangkaan pasaran, dengan keputusan kewangan itu menyumbang 73% daripada unjuran firma dan 70% daripada anggaran konsensus bagi tahun penuh," katanya dalam nota.
TA Securities menambah, agihan dividen per unit (DPU) turut meningkat 4.1% YoY kepada 3.57 sen, diterjemahkan kepada hasil tahunan sebanyak 7.7% dengan berdasarkan harga penutupan yang terkini.
Pendapatan hartanah bersih (NPI) bagi 9MFY25 naik 8.6% YoY kepada RM207.9 juta, dipacu pelarasan penyewaan positif, kenaikan kadar sewa tahunan dan pendapatan baharu daripada aset logistik.
Antara yang dikenal pasti menjana hasil jelas firma berkenaan, ialah Glenmarie Distribution Centre, Senai Airport City Facilities, Synergy Logistics Hub, dan Iskandar Puteri Facilities.
"Sumbangan portfolio logistik dan industri ini membantu mengekalkan prestasi stabil CLMT, dengan pusat beli-belah di luar Lembah Klang kekal kadar penghunian melebihi 98%," kata TA Securities.
Artikel berkaitan: Pendapatan harta bersih CapitaLand naik 11% kepada RM69.1 juta bagi- 3QFY25
Sementara langkah pelarasan penyewaan runcit jelas firma itu, adalah masih sihat pada 10.9% YoY, dan dari segi pajakan, 97.2% pajakan yang akan tamat pada 2025 sudah diperbaharui atau dirunding.
Keadaan positif itu tambahnya, memastikan kelangsungan pendapatan yang tinggi menjelang FY26 dan CLMT terus memperluas portfolio logistik melalui usaha pengambilalihan aset baharu di Johor.
Langkah tersebut kata TA Securities, berjaya meningkatkan sumbangan segmen logistik kepada 7.9% daripada jumlah seluruh aset di bawah pengurusan (AUM) berbanding sebelum ini hanya sebanyak 4.2%.
"CLMT juga menyasarkan pendedahan logistik dan industri kepada 20% AUM menjelang 2028, sejajar dengan usaha mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengukuhkan kestabilan hasil," jelasnya lagi.
Berdasarkan potensi itu, ia menaikkan unjuran pendapatan FY25, FY26 dan FY27 masing-masing 3.7%, 14.2%, dan 14.4%, dengan mengambil kira sumbangan aset baharu dan andaian pelarasan sewaan tinggi.
Bagaimanapun TA Securities, menyemak turun unjuran DPU sekitar 3% hingga 5% bagi mencerminkan kesan pencairan daripada penerbitan sejumlah 409.8 juta unit baharu atau naik 14% asas unit.
Ia mengekalkan syor 'beli' tetapi harga sasaran 80 sen berbanding 82 sen berdasarkan hasil sasaran 2026 iaitu 6.75%, yang mencerminkan penarafan empat bintang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Walaupun perbelanjaan pengurusan lebih tinggi memberi tekanan kecil terhadap keuntungan bersih sukuan, CLMT kekal berada pada landasan pertumbuhan mampan," kata firma itu. - DagangNews.com








