Pendapatan harta bersih CapitaLand naik 11% kepada RM69.1 juta bagi 3QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan harta bersih CapitaLand naik 11% kepada RM69.1 juta bagi 3QFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt – CapitaLand Malaysia Trust mencatatkan peningkatan hasil dan pendapatan harta bersih (NPI) bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (3QFY2025).

 

Peningkatan itu disokong pertumbuhan sewaan di kebanyakan aset hartanya serta sumbangan pendapatan daripada Glenmarie Distribution Centre yang baharu diperoleh.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CapitaLand berkata, ia mencatatkan NPI sebanyak RM69.10 juta bagi suku ketiga, meningkat 11.5% berbanding RM61.99 juta pada suku yang sama tahun lalu. 

 

“Hasil kasar yang merangkumi pendapatan sewaan, tempat letak kereta dan hasil lain turut meningkat 6% kepada RM116.04 juta daripada RM109.24 juta sebelumnya.

 

“Pendapatan boleh agih kepada pemegang unit meningkat 14% kepada RM35.05 juta berbanding RM30.73 juta pada suku sama tahun lalu,” kata CapitaLand.

 

Ia turut mengumumkan pengagihan per unit (DPU) sebanyak 1.11 sen bagi suku tersebut, menjadikan jumlah DPU bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 (9MFY2025) sebanyak 3.57 sen, iaitu 4.1% lebih tinggi berbanding 3.43 sen yang diisytiharkan dalam tempoh sama tahun lalu.

 

CapitaLand sebelum ini membayar agihan pendapatan awal berjumlah RM13.7 juta atau 0.47 sen seunit bagi tempoh 1 Julai hingga 6 Ogos 2025 sebelum pelaksanaan penempatan persendirian pada 19 Ogos. 

 

t

 

Ini menjadikan baki DPU yang akan diterima sebanyak 0.64 sen seunit. DPU CapitaLand dibayar dua kali setahun dan pemegang unit dijangka menerima pembayaran seterusnya menjelang Mac 2026.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, NPI kumpulan meningkat 8.6% kepada RM207.94 juta daripada RM191.44 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala hasil kasar naik 5.2% kepada RM352.14 juta daripada RM334.78 juta. 

 

Pendapatan boleh agih kepada pemegang unit turut meningkat 9.5 kepada RM106.92 juta berbanding RM97.62 juta sebelumnya.

 

Jika tidak mengambil kira bayaran pampasan sekali berjumlah RM3 juta yang diterima tahun lalu kerana penamatan awal sewaan, CapitaLand berkata, prestasi sebenar tahun ini sebenarnya lebih baik. 

 

“NPI bagi sembilan bulan pertama 2025 meningkat sebanyak 10.3% berbanding tahun sebelumnya manakala DPU bagi tempoh sama naik 13%,” katanya.

 

Mengenai prospek, CapitaLand berkata, pihaknya akan terus mengamalkan pendekatan pengurusan aset yang proaktif dan berfokus untuk mengukuhkan prestasi portfolio. 

 

Ketika ini, CapitaLand sedang melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan di Gurney Plaza dan 3 Damansara bagi meningkatkan nilai aset runcit.

 

Setakat 30 September 2025, kumpulan itu telah mengambil alih tiga hartanah baharu iaitu Senai Airport City Facilities, Synergy Logistics Hub dan Iskandar Puteri Facilities. 

 

Kesemua hartanah itu dijangka mula menyumbang secara positif kepada keputusan suku penuh dan DPU mulai suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY2026). - DagangNews.com