UEM Sunrise catat untung bersih RM71 juta bagi FY25, pendapatan naik 27% kepada RM1.7 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Sunrise catat untung bersih RM71 juta bagi FY25, pendapatan naik 27% kepada RM1.7 bilion

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Feb - UEM Sunrise Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATANCI) sebanyak RM71.02 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. 


Keuntungan teras syarikat pembangunan hartanah berkenaan meningkat kepada RM122 juta, didorong oleh jualan hartanah yang berdaya tahan dan sumbangan mampan daripada syarikat usaha sama (JV).


Bagaimanapun jelasnya, PATANCI itu menunjukkan ada penurunan berbanding RM104.34 juta pada FY24, sebahagian besarnya disebabkan oleh pelarasan bukan operasi dan bukan tunai sebanyak RM51 juta.


"UEM Sunrise namun merekodkan jumlah pendapatan sebanyak RM1.7 bilion bagi FY25, meningkat 27% berbanding hanya RM1.3 bilion pada tahun sebelumnya," maklum kumpulan itu kepada Bursa Malaysia.


Pertumbuhan positif berkenaan jelasnya, dipacu oleh perkembangan kemajuan pesat pembinaan dan aktiviti jualan tinggi di pasaran negeri-negeri wilayah Tengah dan Selatan Semenanjung Malaysia.


Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, syarikat mencatatkan PATANCI sebanyak RM9.63 juta daripada hasil RM424 juta, dengan segmen pembangunan hartanah menyumbang 72% daripada jumlah itu.


Selain itu, UEM Sunrise berjaya melepasi sasaran jualan FY25 yang ditetapkan asalnya hanya sebanyak RM1.05 bilion, apabila mencapai pula jualan sebenar bernilai kira-kira RM1.41 bilion.


"Syarikat ini juga melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) yang berjumlah RM2.23 bilion, sekali gus melepasi sasaran awal iaitu RM2.0 bilion," kata kenyataan kumpulan tersebut.


Justeru, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen dikecualikan cukai satu peringkat 0.84 sen sesaham dan dividen khas satu peringkat 0.59 sen sesaham bagi FY25, berjumlah kira-kira RM73 juta.


Menyentuh prospek sepanjang tahun ini pula, UEM Sunrise menetapkan sasaran pelancaran GDV sebanyak RM2.2 bilion dengan sasaran jualan mencecah kira-kira RM1.3 bilion bagi tahun kewangan 2026.


Ia kekal optimis terhadap trajektori pertumbuhan, disokong simpanan tanah strategik, pengurusan modal yang berdisiplin, dan pemangkin ekonomi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).


Di samping itu juga, kumpulan berkenaan yakin dengan keupayaan projek infrastruktur utama seperti sistem transit pantas (RTS) Link yang memberi kesan kepada kawasan sekitarnya. - DagangNews.com