KUALA LUMPUR 5 Mac – UEM Sunrise Berhad membersihkan sebanyak 240 kilogram sisa daripada Sungai Keroh di Segambut menerusi inisiatif pembersihan komuniti yang dijalankan bersama Hara Makers, sebuah pertubuhan sosial yang memfokuskan kepada tindakan alam sekitar melalui program berasaskan kemahiran.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat UEM Sunrise yang sentiasa menekankan kepentingan sumbangan terhadap daya tahan alam sekitar di kawasan sekitar pembangunan mereka termasuk Mont’Kiara dan Solaris Dutamas.
Lebih 30 pekerja sukarelawan UEM Sunrise berkumpul di tebing sungai pada awal pagi untuk taklimat sebelum memasuki air dengan memakai sarung tangan dan kasut keselamatan.
Setiap pasukan bekerja di bawah panduan terperinci Hara Makers bagi memastikan keselamatan dan pematuhan protokol alam sekitar.
Mereka mengutip plastik, kain, e-sisa dan pelbagai serpihan lain yang ada di sungai tersebut, menunjukkan masih banyak masalah sampah yang tidak diurus dengan baik di sungai dalam bandar.

Sampah yang dikutip kemudiannya direkodkan di tapak bertujuan memantau keadaan sungai secara teratur selain daripada kerja pembersihan secara langsung yang dilakukan.
Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, beberapa sungai di Malaysia masih diklasifikasikan sebagai tercemar atau sederhana tercemar.
Keadaan ini menunjukkan bahawa cabaran pencemaran sungai di kawasan bandar masih berterusan, terutama di kawasan pembangunan pesat.
Ketua Kelestarian UEM Sunrise, Dr. Nik Faizah Nik Mahmood berkata inisiatif ini membuktikan komitmen syarikat dalam menyokong tindakan alam sekitar yang dipimpin komuniti.
“Inisiatif pembersihan di sungai ini bersama pihak berkepentingan setempat mencerminkan komitmen kelestarian kepada tindakan nyata di lapangan,” katanya.


Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Hara Makers, Chee Lee Yoon berkata pembersihan sungai membantu peserta memahami punca sistemik pencemaran dan corak pengurusan sisa dalam masyarakat.
“Kerjasama dengan UEM Sunrise membolehkan impak program ini diperluaskan, menunjukkan bahawa pembangunan secara bertanggungjawab dan pemeliharaan komuniti mesti bergerak seiring,” katanya.
Selain daripada memberi manfaat kepada alam sekitar, program ini juga berfungsi sebagai aktiviti memupuk rasa tanggungjawab pekerja dalam memulih dan memelihara ekosistem bandar.
Kerjasama ini selaras dengan fokus UEM Sunrise dalam menanamkan amalan bertanggungjawab di semua operasi dan komuniti.
Dalam penilaian FTSE4Good Index Series terbaru, syarikat mencatatkan skor ESG 4.1, tertinggi setakat ini dan jauh melebihi purata industri sebanyak 2.3.
Selain daripada inisiatif komuniti, UEM Sunrise terus menekankan kepentingan pemeliharaan alam sekitar dalam pembangunan mereka.
SIREH Park di Iskandar Puteri, Johor, seluas 343 ekar, diiktiraf oleh Buku Rekod Malaysia pada 2025 sebagai taman komuniti bandar terbesar di negara ini.
Taman ini menjadi contoh bagaimana pemeliharaan biodiversiti dan ruang komuniti boleh wujud secara harmoni dalam pembangunan bandar yang mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam membina persekitaran yang berdaya tahan dan inklusif.
UEM Sunrise kekal komited untuk membangunkan projek perumahan dan komersial yang bukan sahaja berkualiti, tetapi juga menyokong kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan komuniti sekelilingnya. - DagangNews.com








