KUALA LUMPUR 11 Dis – Aliran menurun dalam indeks Mid 70 dan Small Cap menunjukkan tanda-tanda semakin reda, dengan beberapa petunjuk teknikal mengisyaratkan keadaan yang semakin stabil, menurut analisis Maybank Investment Bank hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata kedua-dua indeks tersebut kini bergerak lebih perlahan berbanding fasa susut sebelum ini, manakala sektor Produk Industri turut mencatatkan corak pemulihan yang lebih positif.
Dalam sektor itu, V.S. Industry dikenal pasti sebagai kaunter berpotensi lantaran menghampiri paras ‘breakout’ pembalikan menaik.
Bagi dagangan hari ini, Maybank Investment Bank menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,600 hingga 1,620 mata, dengan paras sokongan pada 1,550 dan 1,500 mata.
Pada 10 Disember 2025, KLCI gagal mengekalkan momentum pemulihan dan sebaliknya dibuka rendah berikutan aktiviti mengaut untung yang ketara, khususnya dalam IHH Healthcare dan Press Metal (PMETAL). Tekanan jualan itu menyumbang kepada kelemahan indeks, yang merosot 3.17 mata atau 0.20% untuk ditutup pada 1,611.00 mata.
Walaupun indeks lemah, penyertaan pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada kadar 515 berbanding 472, menunjukkan sentimen pelabur masih berdaya tahan.
Firma itu turut mengemukakan beberapa idea dagangan utama:
V.S. Industry (VS) – BUY, henti rugi RM0.435, rintangan RM0.540 / RM0.600
UNISEM – BUY, henti rugi RM2.88, rintangan RM3.56 / RM3.94
CNERGENZ (CNERGEN) – SELL, henti rugi RM0.505, sokongan RM0.430 / RM0.375
Crude Palm Oil (CPO) – aliran menurun kembali ketara
Niaga Hadapan Indeks KLCI – dijangka mengalami lantunan kecil
Maybank IB menambah, walaupun tekanan jualan masih wujud dalam beberapa sektor, pemulihan berperingkat dalam saham bermodal sederhana dan kecil berpotensi membuka ruang dagangan yang lebih positif menjelang hujung tahun. - DagangNews.com








