Buku tempahan RM565 juta sokong pertumbuhan Infomina pada FY2027 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Buku tempahan RM565 juta sokong pertumbuhan Infomina pada FY2027

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Julai – Infomina Bhd berada pada kedudukan yang baik untuk meneruskan pertumbuhan pada tahun kewangan berakhir 31 Mei 2027 (FY2027) disokong oleh buku tempahan bernilai RM565 juta, kontrak penyelenggaraan dan sokongan yang menjana pendapatan berulang serta pengembangan operasi di peringkat serantau.

 

Syarikat penyedia rumusan teknologi itu berkata, operasi yang pelbagai di Malaysia, Thailand, Filipina, Hong Kong, Taiwan, China, Indonesia dan Jepun akan terus menyokong prospek pertumbuhannya.

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Mei 2026, Infomina kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM10 juta, bersamaan pendapatan sesaham 1.67 sen, berbanding kerugian bersih RM3.1 juta atau kerugian sesaham 0.51 sen yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pada masa sama, hasil meningkat kepada RM84.6 juta daripada RM53.4 juta yang dicatatkan sebelum ini.

 

Bagi keseluruhan FY2026, keuntungan bersih kumpulan meningkat 66% kepada RM35.1 juta berbanding RM21.2 juta pada tahun sebelumnya, manakala hasil melonjak 41.1% kepada RM278 juta daripada RM196.7 juta.

 

Fokus Kukuhkan Hubungan Pelanggan

Infomina berkata, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan jangka panjang dengan pelanggan menerusi operasi infrastruktur teknologi yang boleh dipercayai serta perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan, di samping meneroka peluang baharu dalam pasaran terasnya.

 

Menurut syarikat itu, pembaharuan kontrak serta kejayaan memperoleh projek baharu sejak kebelakangan ini terus mengukuhkan keterlihatan pendapatan selain mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan perkhidmatannya.

 

Infomina juga akan terus memacu inovasi menerusi kerjasama dengan LGMS Bhd dalam pembangunan penyelesaian keselamatan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI), selain memperluaskan kehadirannya di Jepun yang menyaksikan peningkatan minat daripada pelanggan.

 

Pada masa sama, syarikat itu turut menyokong ekosistem digital Malaysia melalui kerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

Kedudukan Kewangan Kukuh

Lembaga pengarah berkata, disokong pelaksanaan operasi yang berdisiplin, kedudukan kewangan yang kukuh serta permintaan berterusan daripada sektor awam dan perusahaan, kumpulan kekal optimis terhadap prospeknya meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

 

Infomina menamatkan FY2026 dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM101.4 juta, terdiri daripada tunai dan deposit berjumlah RM124 juta berbanding pinjaman sebanyak RM22.6 juta. 

 

Nisbah semasanya berada pada 1.6 kali, manakala dana pemegang saham berjumlah RM162 juta.

 

Bagi FY2026, kumpulan mengisytiharkan jumlah dividen satu peringkat sebanyak 2.03 sen sesaham, merangkumi dividen interim pertama sebanyak 1.35 sen dan dividen interim kedua sebanyak 0.68 sen sesaham, dengan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM12.21 juta.

 

Dividen interim kedua itu akan dibayar pada 19 Ogos 2026 kepada pemegang saham yang namanya tersenarai dalam rekod setakat 5 Ogos 2026.  - DagangNews.com