Sarawak sasar jadi hab halal ASEAN menerusi pelan pembangunan industri 2026-2030 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak sasar jadi hab halal ASEAN menerusi pelan pembangunan industri 2026-2030

Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Halal kepada Datuk Seri Mohd. Naroden Majais.
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Julai – Sarawak menetapkan sasaran untuk menjadi hab halal ASEAN menerusi Pelan Pembangunan Industri Halal Sarawak 2026–2030, langkah strategik yang bakal memperluas ekosistem industri halal negeri serta meningkatkan peranannya dalam pasaran halal serantau.

 

Pelan pembangunan berkenaan menjadi antara usaha utama Sarawak dalam memacu pertumbuhan industri halal secara mampan, selain memanfaatkan kedudukannya sebagai pintu masuk strategik ke rantau Borneo dan pasaran antarabangsa.

 

Inisiatif itu turut mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Kecemerlangan Prestasi Negeri Halal pada Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia (WHEA) 2025 Borneo yang berlangsung di Kuching.

 

Anugerah tersebut dianjurkan oleh Halal Development Corporation Berhad (HDC) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED Sarawak) bersempena persidangan dan pameran Borneo International Halal Showcase (BIHAS) 2026.

 

Pengiktirafan berkenaan mencerminkan kemajuan Sarawak dalam membangunkan ekosistem halal yang menyeluruh, disokong oleh dasar progresif, pembangunan infrastruktur serta usaha memperluaskan perdagangan rentas sempadan.

 

Malaysia Kekal Peneraju Ekonomi Halal Global

Dalam masa sama, HDC berkata Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju industri halal dunia apabila menduduki tempat pertama dalam Laporan Keadaan Ekonomi Islam Global selama 12 tahun berturut-turut.

 

Pencapaian itu menunjukkan kekuatan ekosistem halal negara yang disokong oleh tadbir urus, piawaian serta keupayaan industri yang matang menerusi agenda Halal Malaysia yang diterajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pemain industri.

 

HDC berkata, Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia bukan sahaja menjadi platform untuk mengiktiraf pencapaian pemain industri, malah berperanan sebagai pemangkin kepada inovasi, kerjasama dan peningkatan daya saing dalam ekosistem halal.

 

“Kepelbagaian penerima anugerah tahun ini membuktikan keupayaan pemain industri dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan halal yang berteraskan nilai kepercayaan, integriti, kualiti serta kemampanan.

 

“Penganjuran WHEA 2025 Borneo turut memperlihatkan komitmen HDC dalam memperluaskan pembangunan industri halal negara, khususnya dengan membuka lebih banyak peluang pertumbuhan di wilayah Borneo,” katanya.

 

12 Penerima Raih Pengiktirafan Kecemerlangan Halal

Pada majlis itu, sebanyak 12 penerima menerima pengiktirafan menerusi pelbagai kategori anugerah melibatkan bidang kepimpinan, perniagaan, makanan dan minuman, logistik, teknologi, kewangan Islam serta keusahawanan.

 

Senarai penerima Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia (WHEA) 2025 Borneo ialah:

1. Datuk Sri Mohd. Naroden Majais – Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Halal.

2. Sarawak – Anugerah Kecemerlangan Prestasi Negeri Halal.

3. Teck Lee Seng Coffee Products Sdn. Bhd. – Anugerah Kecemerlangan PKS Halal.

4. Mamee Double Decker Distribution (M) Sdn. Bhd. – Anugerah Kecemerlangan Jenama Halal Tersohor.

5. Saddad Resources Sdn. Bhd. – Anugerah Kecemerlangan Logistik Halal.

6. SCR Corporation Sdn. Bhd. – Anugerah Kecemerlangan Francais.

7. DuluKita Holdings Sdn. Bhd. – Anugerah Kecemerlangan Makanan Dan Minuman Halal.

8. Shangri-La Tanjung Aru, Kota Kinabalu – Anugerah Kecemerlangan Pelancongan Mesra Muslim.

9. Ahmad Tamar Sdn. Bhd. – Anugerah Kecemerlangan Teknologi Dan Inovasi.

10. Affin Islamic Bank Berhad – Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Kewangan Islam.

11. Cherry Chew Li Ding daripada Hong Xin Food Sdn. Bhd. – Anugerah Kecemerlangan Usahawan Wanita.

12. Dr. Hj. Mohamad Hafeezi Datuk Abdullah daripada Kek Lapis Warisan Sdn. Bhd. – Anugerah Kecemerlangan Usahawan Belia.

 

Penganugerahan tersebut mencerminkan kepelbagaian sektor yang menyokong pertumbuhan industri halal Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), makanan dan minuman, logistik, pelancongan, kewangan Islam serta teknologi.

 

Ia turut menunjukkan komitmen pemain industri dalam memenuhi piawaian halal berkualiti tinggi dan meningkatkan daya saing untuk menembusi pasaran tempatan serta antarabangsa.

 

HDC berkata, penganjuran WHEA 2025 Borneo menjadi satu langkah penting dalam memperluaskan peranan Malaysia sebagai peneraju ekonomi halal dunia, selain menyokong aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab halal ASEAN menerusi pembangunan industri yang lebih inklusif dan berdaya saing. - DagangNews.com