KUALA LUMPUR 23 Julai - Pusat pengedaran baharu MyNews Holdings Bhd yang bakal dibina di tapak perindustrian seluas 5.46 hektar di Rawang mampu memperkukuhkan infrastruktur rantaian bekalan dan menyokong pengembangan rangkaian kedainya pada masa hadapan.
CIMB Securities berkata, ia merupakan langkah strategik yang akan meningkatkan kapasiti pengedaran serta keupayaan rantaian sejuk kumpulan bagi menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat.
Lebih-lebih lagi pengurusan memaklumkan pusat pengedaran sedia ada seluas 1.05 hektar di Rawang kini hampir mencapai penggunaan maksimum, sekali gus mengehadkan rancangan pengembangan rangkaian kedainya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Hold' terhadap saham MyNews dengan harga sasaran tidak berubah pada 51 sen.
"Kami melihat cadangan ini sebagai penambahbaikan yang bermakna terhadap infrastruktur rantaian bekalan MyNews, sekali gus mengukuhkan kapasiti pengedaran dan keupayaan rantaian sejuk untuk menyokong strategi pertumbuhan jangka panjangnya," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
MyNews semalam mengumumkan akan melabur RM24.7 juta bagi memperoleh tapak perindustrian seluas 5.46 hektar di Rawang, Selangor untuk membangunkan sebuah pusat pengedaran baharu yang dijangka
Anak syarikat milik penuhnya, MRetail Sdn. Bhd. mencadangkan pengambilalihan tanah perindustrian pegangan pajak itu daripada Thun Hing Group Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang terlibat dalam fabrikasi dan pemasangan saluran pengudaraan, bumbung logam serta produk berkaitan.
Kemudahan baharu itu akan dilengkapi stor penyimpanan pada suhu biasa, sejuk dan beku bagi membolehkan kumpulan memperluaskan rangkaian produk serta mempercepatkan pengembangan tawaran makanan segar di semua cawangannya.
Menurut syarikat itu, harga pembelian RM24.7 juta dirunding berdasarkan prinsip pembeli dan penjual yang bersedia selepas mengambil kira data urus niaga serta harga tawaran tanah perindustrian setanding di kawasan berkenaan, manakala seorang penilai bebas akan dilantik untuk menentukan nilai pasaran hartanah tersebut.
Pengambilalihan itu akan dibiayai melalui RM3.7 juta atau 15% daripada dana dalaman dan baki RM21 juta atau 85% menerusi pinjaman bank.
Urus niaga berkenaan dijangka diselesaikan dalam tempoh 12 bulan, tertakluk kepada pendaftaran hak milik serta kelulusan pihak berkuasa negeri.
Nisbah Penggearan Bersih Meningkat
CIMB Securities berkata, struktur pembiayaan itu dijangka meningkatkan nisbah penggearan bersih MyNews kepada kira-kira 0.44 kali berbanding 0.36 kali pada akhir suku kedua tahun kewangan 2027 (FY27), namun paras tersebut masih dianggap terkawal.
Walaupun pinjaman tambahan dan anggaran perbelanjaan modal sebanyak RM20 juta bagi pembinaan pusat pengedaran baharu berpotensi mengurangkan pendapatan sesaham FY27 hingga FY28 antara 4% dan 13.3% berdasarkan analisis sensitiviti, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatannya tanpa perubahan sehingga urus niaga itu dimuktamadkan.
Pada penilaian semasa, saham MyNews didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) tahun kalendar 2027 (CY27) sebanyak 15.7 kali, sejajar dengan purata sejarah lima tahunnya, mencerminkan jangkaan pemulihan jualan secara beransur-ansur di samping tekanan margin akibat inflasi dan peningkatan kos operasi.
Setakat tahun ini, harga saham MyNews telah susut 30.95% daripada 63 sen pada 23 Januari kepada 44 sen ketika ditutup pada Rabu, menjadikan syarikat itu mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM330.11 juta. - DagangNews.com








