MBSB Research: Kemajuan pantas projek LRT Pulau Pinang kurangkan tekanan kos pembinaan Gamuda | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Research: Kemajuan pantas projek LRT Pulau Pinang kurangkan tekanan kos pembinaan Gamuda

Foto ihsan MRT Corp
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 JulaiGamuda Berhad mengukuhkan kedudukan sebagai pilihan utama sektor pembinaan dengan projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang menunjukkan kemajuan yang pantas.

 

Menurut analisis MBSB Research, perkembangan positif itu mengurangkan kebimbangan kumpulan terhadap tekanan kos pembinaan dan risiko pelaksanaan projek mega yang masih menjadi cabaran industri.

 

Justeru, firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM5.60, disokong oleh buku tempahan sebanyak RM52.3 bilion yang memberikan keterlihatan hasil kukuh untuk beberapa tahun.

 

"Kira-kira 75% daripada projek berada pada peringkat pelaksanaan awal, menjadikan tahun kewangan 2027 (FY27) sebagai permulaan kepada kitaran pertumbuhan pendapatan Gamuda lebih teguh," jelasnya.

 

Selain segmen pembinaan, MBSB Research menjangka bahagian pembangunan hartanah memasuki fasa baharu menerusi banyak projek bernilai RM10 bilion pada FY27 di Malaysia, Singapura dan Vietnam.

 

Dalam pada itu, hasil lawatannya ke Pusat Latihan Konsortium SRS bagi Pakej Kontrak Utama Awam 1 (CMC1) LRT Pulau Pinang, mendapati kemajuan fizikal projek kini 8%, mengatasi sasaran asal 4%.

 

Gamuda_DagangNews2026

 

Projek bernilai RM7.93 bilion itu melibatkan pembinaan jajaran 23.7 kilometer merangkumi 19 stesen, dan sebuah depot, mewakili 80% daripada keseluruhan Laluan Mutiara yang sepanjang 29.5 kilometer.

 

"Bagi mempercepatkan pelaksanaan, Gamuda membangunkan kemudahan khas termasuk limbungan pratuang di Kulim, Kedah dilengkapi 20 barisan pengeluaran pembinaan jejambat," kata MBSB Research.

 

Pembinaan struktur stesen kekal sebagai laluan kritikal projek LRT kerana melibatkan kerja seni bina, mekanikal dan elektrikal (M&E) serta integrasi sistem, dengan jejambat dijadual bermula akhir 2026.

 

Kumpulan itu menjangkakan inflasi kos pembinaan kekal terkawal menerusi strategi perolehan awal dan pembelian pukal, selain prospek komersial pembangunan Silicon Island yang dilihat semakin positif.

 

Ia berikutan minat pelabur dalam sektor kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan elektrik serta elektronik (E&E), dengan projek CMC1 bersama Silicon Island menyumbang 18.5% buku tempahan Gamuda.

 

"Situasi ini mengukuhkan hasil FY27 hingga FY31, dan potensi penganugerahan pakej sistem bernilai RM4 bilion dilihat mampu meningkatkan nilai saham syarikat pada masa depan," katanya. - DagangNews.com