KUALA LUMPUR 23 Julai – IGB Commercial REIT terus dilihat menjadi antara kumpulan amanah pelaburan hartanah (REIT) pejabat yang paling stabil kepada pelabur di Bursa Malaysia, menurut penganalisis.
Hasil dividen yang tinggi, selain kadar penghunian dan sewaan terus meningkat, turut menyokong pertumbuhan pendapatan syarikat walaupun pasaran ruang pejabat masih berdepan isu lebihan bekalan.
Antaranya RHB Research yang mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) 75 sen, menawarkan potensi kenaikan sekitar 24% di samping hasil dividen 8%, disokong portfolio pejabat premium.
"Keuntungan separuh pertama tahun kewangan 2026 naik 30% kepada RM68.1 juta, memenuhi 55% daripada unjuran tahun penuh, manakala agihan pendapatan seunit (DPU) meningkat kepada 2.68 sen," katanya.
Menurutnya, aset IGB Commercial REIT di Mid Valley City terus mencatat prestasi kukuh dengan kadar penghunian melonjak kepada 98%, manakala aset di Kuala Lumpur City bertambah baik kepada 87%.
Pada masa sama, kos pembiayaan susut 18.4%, susulan penjimatan daripada pinjaman semula bernilai RM850 juta dan RHB Research menjangka pertumbuhan hasil terus disokong kadar penghunian stabil.

Ia turut berpandangan kumpulan itu masih ada ruang pertumbuhan bukan organik memandangkan nisbah penggearan hanya 26%, dan menyediakan kapasiti pembiayaan RM800 juta bagi perolehan aset baharu.
"Kami namun mengingatkan risiko utama termasuk momentum penyewaan yang perlahan, pertumbuhan kadar sewa lebih rendah daripada jangkaan serta isu lambakan bekalan ruang pejabat," kata firma tersebut.
Sementara itu, MBSB Research mengekalkan pandangan positif yang memiliki portfolio banyak pusat beli-belah, sambil ia menaik taraf saranan kepada 'beli' dengan TP baharu RM2.90 daripada RM2.84.
Walaupun keuntungan IGB Commercial REIT bagi suku kedua menyederhana berikutan kesan asas tinggi musim perayaan, prestasi tahunan disokong semakan kadar sewa positif, dan kadar penghunian tinggi.
Ujarnya, prospek jangka panjang kumpulan REIT itu adalah kekal memberangsangkan berikutan trafik pengunjung yang tinggi serta potensi pertumbuhan Mid Valley Southkey Mall di Johor Bahru, Johor.
"Kami berpandangan kelemahan harga saham ketika ini menawarkan peluang kemasukan menarik kepada pelabur, dan menjadi asas kenaikan taraf saranan saham itu," kata MBSB Research. - DagangNews.com








