KUALA LUMPUR 23 Julai - Searah Ltd, syarikat usaha sama (JV) sektor huluan antara PETRONAS dan syarikat tenaga Itali, Eni, berjaya memperoleh kemudahan kredit pusingan bernilai AS$6 bilion (RM25 bilion), sekali gus memperkukuh keupayaan kewangannya untuk mengembangkan operasi minyak dan gas huluan di Malaysia serta Indonesia.
Pembiayaan itu, yang merupakan antara urus niaga pinjaman bersindiket sektor tenaga terbesar di Asia Tenggara tahun ini, turut menandakan penampilan sulung Searah dalam pasaran pinjaman bersindiket antarabangsa.
Syarikat itu berkata, kemudahan berkenaan akan memberikan fleksibiliti kewangan yang lebih besar bagi mempercepat pembangunan aset pengeluaran sedia ada dan projek huluan baharu, di samping menyokong sasaran pengeluaran jangka sederhana serta peluang pelaburan masa hadapan.
Transaksi berkenaan menerima permintaan memberangsangkan daripada institusi kewangan antarabangsa dengan jumlah komitmen melebihi nilai tawaran asal, mencerminkan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap sektor minyak dan gas Asia Tenggara meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global serta peralihan ke arah tenaga lebih bersih.
Sebanyak 20 institusi kewangan mengambil bahagian dalam pembiayaan bersindiket itu, termasuk Banco BPM, Banco Santander, Bank of China, Barclays, BBVA, BofA Securities, BPER, Citi, DBS, HSBC, Intesa Sanpaolo, JP Morgan, Mediobanca, Mizuho, MUFG, Natixis CIB, SMBC, UniCredit, UOB dan Wells Fargo.
JP Morgan turut bertindak sebagai penasihat hutang yang membantu Searah dalam proses penstrukturan dan pelaksanaan transaksi tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Searah, syarikat usaha sama Petronas-ENI mulakan operasi cari gali minyak
Pembiayaan sokong pembangunan aset di Malaysia dan Indonesia
Searah berkata, pembiayaan itu akan membolehkannya memperluaskan pembangunan aset pengeluaran sedia ada serta mempercepat projek-projek huluan di Malaysia dan Indonesia, ketika permintaan tenaga di kedua-dua negara terus meningkat sejajar dengan pertumbuhan perindustrian dan ekonomi.
Kejayaan pengumpulan dana itu juga mencerminkan minat berterusan bank-bank antarabangsa untuk membiayai pelaburan strategik dalam sektor tenaga Asia Tenggara.
Walaupun kerajaan di rantau ini giat meningkatkan pelaburan dalam tenaga boleh baharu, minyak dan gas asli masih memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan tenaga yang stabil serta menyokong pertumbuhan ekonomi.
Searah dimiliki secara sama rata oleh PETRONAS dan Eni, dengan setiap syarikat memegang pegangan sebanyak 50 peratus.
Usaha sama itu menguruskan portfolio 19 aset minyak dan gas huluan yang merangkumi 14 aset di Indonesia dan lima aset di Malaysia.
Penubuhan syarikat tersebut bertujuan menggabungkan portfolio huluan kedua-dua kumpulan tenaga itu bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan nilai aset serta memperkukuh pengeluaran jangka panjang di Asia Tenggara.
Kukuhkan kedudukan kewangan jangka panjang
Pembiayaan terbaharu itu dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan Searah serta menyediakan kapasiti pembiayaan tambahan ketika Malaysia dan Indonesia terus memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan keselamatan tenaga serantau menerusi pembangunan sektor huluan pada masa hadapan.
Menurut laman webnya, Searah memberi tumpuan kepada aktiviti penerokaan, pembangunan dan pengeluaran minyak serta gas secara selamat, boleh dipercayai dan cekap.
"Dengan asas pengeluaran yang kukuh, rizab serta sumber yang besar dan saluran peluang pembangunan yang luas, Searah menyumbang kepada keselamatan tenaga Asia Tenggara di samping menyokong pembangunan mampan komuniti di kawasan operasinya," kata syarikat itu.
Searah beroperasi menerusi tiga syarikat operasi iaitu Operating Company Malaysia yang berpangkalan di Kuala Lumpur, serta Operating Company Ketapang dan Operating Company Muara Bakau yang berpusat di Jakarta. - DagangNews.com








